Langkah Persatuan Bola Sepak Thailand memecat ketiga-tiga ketua jurulatih skuad senior, wanita dan pasukan bawah 23 tahun negara tersebut jelas satu keputusan mengejutkan.
Trio Jepun iaitu Masatada Ishii, Nishigaya Takayuki dan Futoshi Ikeda terpaksa mengucapkan selamat tinggal selepas tidak mampu menghadiahkan kejuaraan buat negara Gajah Perang itu.
Baca Juga:
- Senarai Pemain Malaysia Beraksi Di Liga Thailand Musim 2025/2026

- Liga Thailand Guna Teknologi VAR Sama Seperti EPL, Piala Dunia

- Kenali Picha Autra, Bintang Baharu Selangor Dari Thailand
Sehubungan dengan langkah tersebut terutamanya buat skuad utama, sudah terdapat beberapa nama yang disebut-sebut bakal menjadi calon untuk mengisi kekosongan itu.
Enam Calon Ketua Jurulatih Baharu Thailand
Menurut kenyataan dikeluarkan Naib Presiden FA Thailand, Charnvit Polcheewin dalam laporan Thai PBS World, enam nama telah dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan Thailand selepas pemecatan Masatada Ishii.
Individu yang dilihat merupakan calon utama ialah Pengarah Teknikal FA Thailand, Anthony Hudson dimana beliau berpengalaman dalam membimbing Amerika Syarikat dan New Zealand.
Dalam saingan domestik, Hudson yang merupakan jurulatih kelahiran Washington itu pernah mengemudi skuad BG Pathum United pada Februari 2025. Hanya selepas dua bulan, beliau telah dilantik selaku Pengarah Teknikal FA Thailand.
Difahamkan beliau kini diberikan tugasan sebagai pengendali sementara buat skuad kebangsaan Thailand untuk menghadapi FIFA Matchday bagi bulan November nanti.
Kiatisuk Senamuang, Sasom Pobprasert dan Totchtawan Sripan yang merupakan legenda Thailand juga berada dalam radar badan induk tersebut.
Selain itu menurut Charnvit lagi, pilihan utama peminat iaitu Park Hang-seo dan Shin Tae-yong juga turut dinilai dimana keputusan bakal dibuat pihak persatuan pada awal minggu hadapan.
“Siapa sahaja yang dipilih perlu mengemukakan pelan kejurulatihan yang lengkap dan bersedia untuk menghadapi tekanan. Masanya singkat, tetapi pertaruhannya sangat besar,” ujar Charnvit.