Wayne Rooney menegaskan dia tidak mahu menerima pingat juara Liga Perdana Inggeris musim 2011/12 sekiranya Manchester City dilucutkan kejuaraan tersebut susulan kesalahan kewangan kelab.

Bekas penyerang Manchester United itu berkata dia tidak akan berasa selesa jika kejuaraan tersebut diberikan kepada United, kerana pasukannya sendiri gagal memanfaatkan peluang untuk memenangi liga pada musim berkenaan.

“Saya sebenarnya tidak akan berasa selesa menerima satu lagi pingat Liga Perdana, kalau nak jujur.

“Saya rasa kami tidak layak menerimanya. Kami tidak melakukan apa yang diperlukan untuk memenangi liga pada musim itu.

“Kami mendahului enam atau tujuh mata dengan baki empat atau lima perlawanan, tetapi kami mensia-siakannya,” katanya.

Manchester United ketika itu kelihatan berada di landasan untuk mengekalkan kejuaraan sebelum Manchester City bangkit pada penghujung musim.

City akhirnya menjuarai Liga Perdana menerusi cara dramatik selepas Sergio Aguero menjaringkan gol pada minit ke-93:20 ketika menewaskan Queens Park Rangers 3-2 pada hari terakhir musim.

United pula menewaskan Sunderland 1-0, namun keputusan tersebut tidak mencukupi apabila City mengatasi mereka menerusi perbezaan gol.

Rooney turut berkata dia akan berasa amat kecewa sekiranya pemain City kehilangan pingat juara atas perkara yang berlaku di peringkat pengurusan kelab.

“Jika pemain-pemain City langsung tidak mengetahui apa yang berlaku di peringkat atasan dan pingat mereka kemudian ditarik balik, saya pasti akan sangat kecewa jika perkara itu berlaku kepada saya.

https://twitter.com/search?q=rooney&src=typed_query

“Saya gembira dengan lima kejuaraan yang sudah saya menangi. Saya tidak mahukan yang ini.

“Patutkah mereka dilucutkan kejuaraan atas apa yang dilakukan oleh pemilik kelab? Ya, mungkin. Tetapi saya sendiri tidak akan berasa selesa menerimanya,” katanya.

Kenyataan Rooney itu muncul ketika persoalan mengenai kemungkinan hukuman terhadap Manchester City terus menjadi perhatian susulan pertuduhan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana yang dikenakan terhadap kelab tersebut.