Wayne Rooney berpendapat bahawa Paul Pogba antara tiga pembelian paling pelik Manchester United sebelum INEOS membeli pegangan dalam kelab itu.

Legenda United itu turut memberikan penilaian keras terhadap strategi perpindahan kelab sebelum Sir Jim Ratcliffe dan rakan-rakan terlibat, dengan rekrutmen mereka digambarkan sebagai ‘sangat mengerikan’.

Baca Juga:

Sebelum pengambilalihan sebahagian oleh INEOS pada akhir 2023, operasi bola sepak di Manchester United kebanyakannya diselia oleh Ed Woodward, yang memegang jawatan naib pengerusi eksekutif dari 2012 sehingga meletak jawatan pada 2021.

Tempoh itu juga boleh dikatakan bersamaan dengan kemerosotan kelab daripada penguasaan domestik kepada sebuah pasukan yang bergelut untuk mengekalkan identitinya.

Kenyataan Rooney mencerminkan kekecewaan peminat yang melihat berjuta-juta pound dibelanjakan untuk pembelian pemain yang tidak memberi impak sepenuhnya.

Kepulangan Paul Pogba dari Juventus dengan rekod dunia £89 juta, pertukaran Romelu Lukaku dari Everton bernilai £75 juta dan kemasukan jangka pendek Zlatan Ibrahimovic secara percuma dari Paris Saint-Germain kini dianggap sebagai keputusan yang kurang visi bola sepak.

“Strategi perpindahan di Manchester United sebelum musim panas lalu amat teruk,” ujar Rooney menurut sumber laporan Goal.

“Mereka hanya membawa masuk pemain terkenal. Lihat saja Lukaku, Zlatan, Pogba.”

“Memang mereka ni pemain yang bagus, tapi kelab cuma bawa nama besar dan berbelanja dalam jumlah yang sangat besar.”

“Ia akan mengambil sedikit masa untuk memperbaiki kesilapan-kesilapan itu,” kata Rooney.

Sumber