Wayne Rooney memberikan penilaian keras terhadap Florian Wirtz dengan mendakwa bahawa bintang bernilai £116 juta itu hanya ‘merosakkan’ Liverpool.

Pemain tengah kreatif Jerman tersebut telah dibawa masuk oleh The Reds yang pada ketika itu merupakan rekod perpindahan termahal di Britain dalam usaha Arne Slot menambah kreativiti buat juara bertahan England Premier League (EPL) itu.

Baca Juga:

Namun Wirtz melalui permulaan yang perlahan dalam kancah bola sepak EPL sehingga timbul persoalan mengenai kedudukannya dalam kesebelasan utama Liverpool.

Wirtz diletakkan di bangku simpanan untuk pertembungan Merseyside derby pertama Liverpool musim ini menentang jiran mereka, Everton.

Selain itu beliau turut dikeluarkan setiap kali dia diturunkan sebagai kesebelasan utama The Reds dalam semua pertandingan berikutan impak yang sangat terhad.

Daripada tujuh penampilan setakat ini, beliau masih belum mampu untuk menjaringkan gol atau mencipta sebarang bantuan jaringan.

Komen Rooney Mengenai Wirtz

“Ini tempoh yang sukar untuk dia. Saya rasa memang tak dapat dinafikan perkara itu. Dia bermain dengan agak baik.”

“Bila anda bawak masuk begitu ramai pemain seperti yang Liverpool lakukan dimana ia sesuatu yang Liverpool jarang buat, tetapi mereka pada dasarnya menandatangani hampir keseluruhan barisan serangan baharu,” ujar Rooney menurut sumber laporan Goal.

“Ditambah pula ada [Mohamed] Salah di situ, semuanya bersaing dan mahu tampil cemerlang. Wirtz mungkin yang paling kurang menyerlah setakat ini, walaupun dia memiliki kemampuan yang sangat besar.”

“Saya tak nampak di mana dia boleh masuk dalam pasukan ini. Saya rasa jumlah wang yang dibelanjakan itu terlalu banyak. Malah saya rasa Wirtz sebenarnya merosakkan keseimbangan Liverpool dan cara mereka bermain.”

“Dia memang pemain hebat dan saya pasti dia akan jadi lebih baik  tetapi permulaannya perlahan dan saya rasa itu memang tak boleh dinafikan.

“Saya pernah lihat pemain datang ke liga ini dan mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Ia bukan soal harga, bukan juga soal pemain atau kemampuannya.”

“Saya cuma tak nampak di mana dia sesuai dengan apa yang Liverpool cuba lakukan dalam sistem mereka.”

“Adakah dia pemain tengah ketiga? Pada saya, tidak, dia lebih kepada pemain menyerang. Jadi kalau saya perlu pilih antara dia dengan [Dominik] Szoboszlai, saya akan pilih Szoboszlai,” tambah Rooney lagi.

 

Sumber