Wayne Rooney telah memberikan amaran keras kepada bekas rakan sepasukannya, Michael Carrick dengan mengatakan bahawa pengurus Manchester United itu sudah berada dalam keadaan genting susulan permulaan musim yang mengecewakan.

Legenda The Red Devils itu percaya pihak pengurusan kelab tidak akan bertolak ansur dengan prestasi sederhana, walaupun pasukan tersebut gagal mengukuhkan jentera pertahanan pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Melihatkan kepada keadaan tersebut, Rooney tanpa berselindung berterus terang mengenai tekanan buat Carrick yang hadir bersama tugas tersebut.

Rooney Akui Carrick Tak Boleh Terus Menunggu

“Jika anda merupakan pengurus Manchester United, anda tahu tekanan yang datang bersama jawatan itu dan pada masa ini, anda tidak diberikan banyak masa untuk menjalankan tugas tersebut,” ujar beliau menurut sumber laporan Goal.

“Anda perlu berusaha sedaya upaya, malah lebih kuat lagi untuk mendapatkan pemain kerana anda tidak mahu berada dalam situasi ini enam atau 12 bulan dari sekarang sambil berkata, ‘Kalau difikirkan semula, saya sepatutnya melakukannya.’ ”

“Adakah kami mahu memenangi Liga Juara-Juara? Sudah tentu. Tetapi dari segi proses yang sedang kami lalui untuk kembali ke tahap tersebut, kami perlu menerima hakikat bahawa kami masih belum berada pada tahap itu.”

“Arsenal telah melalui proses ini sejak lima tahun lalu bersama [Mikel] Arteta dan anda dapat melihat perkembangan mereka dari tahun ke tahun.”

“Saya tahu Michael telah tampil dan mengatakan bahawa dia berpuas hati dengan pemain yang telah mereka dapatkan. Saya tidak fikir mana-mana pengurus benar-benar berpuas hati,” sambung Rooney.

“Dia perlu tampil dan mengatakan perkara yang betul. Sudah tentu… setiap pengurus melakukan perkara yang sama. Tetapi dia tidak mempunyai masa untuk menunggu sehingga tahun depan.”

“Dia tidak boleh hanya duduk dan berkata, ‘Baiklah, saya akan tunggu sehingga tahun depan, kemudian saya akan selesaikan masalah pertahanan saya.’ Semakin ramai pemilik dari Amerika yang mahukan kejayaan serta-merta.”

Sumber