Perpindahan mega Florian Wirtz ke Liverpool telah mencetuskan perhatian hebat selepas permulaan yang perlahan dinikmatinya dalam English Premier League (EPL).
Pemain berusia 22 tahun itu yang dianggap antara bakat paling menyerlah dalam bola sepak Jerman masih belum menjaringkan gol atau mencipta bantuan gol dalam 10 penampilan bersama The Reds.
Baca Juga:
- Wayne Rooney: Kehadiran Florian Wirtz ‘Rosakkan’ Keseimbangan Liverpool

- RASMI: Florian Wirtz Sertai Liverpool Sebagai Pemain Keempat Termahal Dalam Sejarah EPL

- ‘Tak Semua Orang Tahu Cerita Sebenar’, Isak Buka Mulut Tentang Kontroversi Perpindahan

Sehubungan dengan itu, sudah ada mengatakan bahawa Wirtz sebagai pembelian yang ‘flop’ ekoran prestasi ditampilkannya.
Namun, Ilkay Gundogan tampil mempertahankan Wirtz dengan menyifatkan kritikan sedemikian sebagai ‘terlalu keterlaluan’ dan menegaskan bahawa mereka yang meragui Wirtz tidak memahami bola sepak.
Gundogan Tetap Percaya Wirtz
“Dengan yuran perpindahan yang tinggi untuk Flo [merujuk kepada Florian Wirtz], sudah tentu boleh dijangka keadaan akan menjadi bising dengan cepat di England.”
“Malangnya, begitulah cara dunia bola sepak berfungsi pada masa kini. Ia bukan salah Flo bahawa dia bernilai begitu tinggi. Namun begitu, memang wajar jika orang ramai meletakkan harapan besar terhadapnya.”
“Bagaimanapun, saya terbaca bahawa dalam semua pertandingan, tiada pemain Premier League yang mencipta lebih banyak peluang berbanding Flo,” ujar Gundogan menurut sumber laporan Goal.
“Saya ingin lihat lebih banyak analisis yang mendalam, bukan hanya fokus kepada jumlah gol dan bantuan gol semata-mata.”
“Sesiapa yang tidak nampak kualiti luar biasa yang dimiliki Flo sebenarnya tidak banyak memahami tentang bola sepak. Untuk melabelnya sebagai pembelian gagal pada ketika ini adalah sesuatu yang terlalu keterlaluan.”
“Saya yakin gol dan bantuan gol akan datang tidak lama lagi. Kalau bukan pada Oktober ini, mungkin bermula November. Tiada pemain atau manusia di dunia ini yang mampu sepenuhnya menutup telinga daripada segala kritikan.”
“Ia pasti memberi kesan. Namun, saya percaya Flo, sebagai seorang individu dan berdasarkan bakat besar yang dimilikinya, akan mampu melalui fasa ini.”
“Itu juga sangat penting untuk pasukan kebangsaan Jerman. Secara peribadi, saya tidak ragu-ragu dan percaya ia hanya soal masa sahaja,” tambah Gundogan lagi.