Pertahanan tengah kental dari Brazil, Thiago Silva bakal menjengah usia 41 tahun pada 22 September nanti.
Pada usia yang dianggap veteran dalam kancah bola sepak profesional, beliau masih mampu beraksi dengan baik di peringkat tertinggi.
Baca Juga:
- Ini Perkara Penting Dilakukan Thiago Silva Untuk Kekal Di Tahap Terbaik

- Senarai Pasukan Ke Separuh Akhir Piala Dunia Kelab FIFA 2025
- Chelsea Belanja Besar Demi Pemain-Pemain Brighton, Ini Jumlahnya Sejak 2022

Meskipun sudah meninggalkan Chelsea untuk bersama Fluminense dalam saingan liga utama Brazil, kekentalan beliau dalam merantai pergerakan pemain ternama dunia masih terserlah.
Ia dibuktikan ketika Fluminense berjaya mengikat Borussia Dortmund tanpa jaringan di peringkat kumpulan kejohanan Piala Dunia Kelab FIFA 2025 dan kemudiannya menang 2-0 ke atas Inter Milan pada aksi suku akhir tempoh hari.

Tunjang Belakang Tabir Thiago Silva
Selain daripada mengamalkan diet serta disiplin tinggi dalam mengekalkan kecergasan di tahap terbaik pada usia 40 tahun, Thiago Silva turut bijak dalam merancang keperluan peribadinya sebagai pemain profesional.
Difahamkan, Thiago Silva mempunyai satu pasukan profesional yang terdiri daripada doktor, pakar pemakanan, fisioterapi, ejen, peguam, pegawai akhbar dan jurulatih peribadi.
Beliau menganggap apa yang dilakukannya dalam membina pasukan tersebut bagi menguruskan kehidupan peribadinya adalah satu pelaburan.
Pelaburan yang nyata membuahkan hasil kerana hasil kerja keras dan disiplin tinggi beliau serta bersandarkan kepada bantuan pasukan profesionalnya, beliau masih mampu beraksi di peringkat tertinggi sehingga ke hari ini.

“Tetapi pada masa kini, orang muda, ramai dalam kalangan mereka melihat perkara ini sebagai perbelanjaan, pembaziran wang untuk mempunyai seseorang wakil di pihak mereka.”
“Mereka fikir mereka membuang wang dengan meminta profesional membantu mereka. Saya fikir ia adalah sebaliknya, ia adalah satu pelaburan,” tambah Silva menurut sumber laporan The Guardian.
Melihatkan kepada inisiatif serta disiplin tinggi dipamerkannya, tidak hairanlah Thiago Silva mampu bersaing hebat dengan pemain-pemain muda dalam liga utama Brazil dan mampu beraksi dengan cukup mantap sepanjang 90 minit perlawanan