Mencari cara untuk berehat dan mengurus kesihatan mental kini menjadi lebih penting berbanding sebelumnya bagi mana-mana atlet profesional dalam apa sahaja jenis sukan.
Ini kerana tekanan untuk beraksi pada tahap tertinggi sentiasa wujud sama ada tuntutan daripada jurulatih, penyokong mahupun diri sendiri.
Baca Juga:
- 4 Gol Dalam Masa 13 Minit, Arteta Tak Sangka Arsenal Boleh Belasah Atletico

- 15 Warga Bangladesh ‘Kantoi’ Menyamar Atlet Kriket Untuk Masuk Malaysia

- Jadi Atlet Terkaya Dunia, Ini 6 ‘Business’ Cristiano Ronaldo

Jadual latihan yang padat, perjalanan jauh dan keperluan untuk sentiasa mengekalkan prestasi boleh menyebabkan keletihan mental yang serius jika tidak diurus dengan baik.
Tambahan pula di era media sosial, setiap aksi dan keputusan di atas padang mudah menjadi bahan kritikan terbuka dan nyata mengganggu kesihatan mental seseorang atlet,
Ini membuatkan ramai atlet merasa sukar untuk benar-benar ‘mematikan’ diri mereka daripada dunia sukan walaupun sudah berada di luar waktu kerja.
Maka, mencari keseimbangan antara kehidupan profesional dan peribadi bukan lagi satu piliha, tetapi satu keperluan untuk menjaga kesejahteraan jangka panjang.
Jauhi Media Sosial Demi Kesihatan Mental
“Putuskan hubungan dengan semua orang. Padam semua aplikasi. Dekatkan diri dengan alam semula jadi.”
Itulah nasihat daripada Simon Clifford, seorang jurulatih prestasi bola sepak yang kini membimbing pemain profesional untuk memulihkan diri dan kembali seimbang dengan mengambil rehat daripada dunia digital yang sentiasa sibuk sepanjang musim yang padat.
“Apa yang saya galakkan mereka lakukan ialah mengambil masa untuk berehat bersama orang tersayang dan hanya itu,” jelas Clifford.
“Tiada komunikasi dengan sesiapa atau apa-apa perkara lain. Dan yang paling penting, mereka tidak memikirkan tentang bola sepak.”
Menurut sumber laporan UEFA, Danny Donachie, seorang jurulatih prestasi mental berpengalaman yang mengendalikan firma perundingan ‘Stable’ dan kini bekerja dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Burnley turut sependapat dengan Clifford.
“Sukar untuk pemain mencari ruang bagi perkara lain selain menjadi seorang pemain bola sepak. Segala yang mereka lakukan terlalu diatur, dipantau dan diukur sehingga mereka kehilangan spontaniti dan kebebasan.”
Donachie menekankan bahawa identiti seorang pemain bola sepak tidak seharusnya tertumpu sepenuhnya kepada bola sepak semata-mata.
“Sebahagian besar kerja saya adalah membantu pemain mencari semula identiti mereka,” katanya.
“Kita bina strategi untuk mewujudkan ruang dalaman, tempat mereka bebas daripada kebisingan dunia luar.”
Berdasarkan pengalamannya sebagai pengamal yoga, Donachie mengesyorkan meditasi, latihan pernafasan dan aktiviti santai yang mudah.
Beliau mengimbau satu kisah: Saya pernah bekerja dengan seorang pemain dan saya galakkan dia bermain tenis, sukan yang dia suka tetapi sudah lama ditinggalkan.”
“Bila dia kembali bermain, dia mula rasa lebih bebas dalam permainannya. Itulah hakikat tentang identiti dimana bila seseorang terlalu mendefinisikan diri hanya dalam satu peranan, beban psikologinya menjadi jauh lebih berat untuk ditanggung.”
Masa Pemulihan Perlu Diambil Kira
Bekerja dengan kira-kira 30 orang pemain dan bertugas sebagai jurulatih prestasi di Blue Sky Sports, Simon Clifford menyaksikan sendiri tekanan besar yang dihadapi oleh pemain bola sepak elit sepanjang tahun.
Malah ketika cuti musim panas, pemain masih perlu mengikuti program kecergasan ketat sebelum kembali ke rentak padat musim baru.
Menurut Clifford, ‘tuntutan fizikal dalam bola sepak pada tahun 2025 dari jumlah kilometer yang dilalui hingga larian berintensiti tinggi menjadikan sesi latihan kini jauh lebih mencabar kesihatan mental berbanding dahulu.”
“Oleh itu, masa pemulihan juga perlu diambil kira dengan lebih serius.”
Namun cabaran yang dihadapi pemain bukan sekadar fizikal. “Pemerhatian terhadap pemain bukan hanya datang daripada orang awam tetapi juga dari dalam kelab sendiri,” katanya.
“Setiap hari mereka berhadapan dengan banyak pihak seperti kakitangan sains sukan, staf teknikal sekali gus menjadikan kehidupan mereka sangat tertekan. Mereka dinilai setiap hari, diperhatikan setiap hari.”
“Selain itu, pemain sentiasa perlu berdepan dengan kemasukan pemain baharu dan pertukaran pengurus.
“Belum lagi tanggungjawab terhadap media, penaja dan dalam masa yang sama mereka juga perlu mengekalkan hubungan keluarga serta persahabatan, itu perkara normal yang dilalui semua orang.”
Penerapan Konsep ‘Dopamine Detox’ Bantu Kesihatan Mental
Dalam rutin harian untuk mengekalkan kesihatan mental mereka, Clifford menasihatkan pemain supaya memulakan pagi dengan apa yang dipanggilnya sebagai ‘golden hour’.
“Satu jam pertama yang dikhaskan untuk aktiviti menenangkan jiwa. Ia boleh jadi doa, meditasi, visualisasi, regangan atau latihan pencegahan kecederaan (prehab).”
Menariknya, Clifford melihat semakin ramai pemain muda kini lebih terbuka untuk meneroka sisi spiritual dan dalaman untuk mengekalkan kesihatan mental mereka.
“Ada yang menulis jurnal, ada juga yang menonton filem untuk mencari perspektif hidup. Saya sering berbual dengan mereka tentang filem dan saya tanya, ‘Kau dah tengok yang ini?’ dan saya kerap cadangkan filem yang mengandungi pengajaran hidup.”
Pendekatan ini seiring dengan kempen UEFA Take Care, yang menekankan kepentingan pemulihan holistik, rutin berterusan dan keseimbangan hidup yang sihat.
Sama ada melalui meditasi, masa bersama keluarga atau menghidupkan semula minat terhadap sukan lain, usaha Clifford dan Donachie membuktikan bahawa pemain bola sepak atau atlet dari apa-apa sukan sekalipun mampu mengekalkan kesihatan mental dan kesejahteraan diri walaupun berada dalam tekanan yang luar biasa.