Kisah seorang penyokong orang kelainan upaya cacat penglihatan, Muhammad Ridzwan Efendi yang hadir di Doha, Qatar bagi menyaksikan perlawanan Harimau Malaya dalam saingan Piala Asia 2023 telah menyentuh hati warga maya.

Ridzwan cacat penglihatan sejak lahir ditemani oleh abangnya, Raff Iskandar Erman yang akan membantu menjelaskan situasi di atas padang sepanjang perlawanan dengan simulasi tangan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Saya selalu akan pegang dan gerakkan tangan dia untuk menampakkan situasi yang berlaku di atas padang. Kalau ada situasi gol atau percubaan berbahaya kami akan bersorak bersama,” jelas Raff Iskandar.

Walaupun berdepan kekurangan, namun ia tidak menghalang semangat Ridzwan untuk terus memberikan sokongan padu kepada skuad negara.

“Perasaan tak ke stadium berbeza, sebab itu saya suka pergi ke stadium. Kadang-kadang jika abang saya tak sempat jelaskan situasi, orang sebelah pula yang tolong jelaskan.

“Saya suka semua pemain Malaysia, tiada spesifik pemain yang saya minat. Selagi dia pakai baju Malaysia, semua saya suka.

“Harapan saya nak Malaysia menang, tetapi saya nak pemain Malaysia tahu dalam banyak-banyak ekor, saya salah satu yang datang untuk dengar dan menang, bukan nak tengok,” katanya.

Reaksi warga maya di laman X mendapati kebanyakan penyokong mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bawa Ridzwan berjumpa para pemain untuk bakar semangat mereka menjelang aksi kedua menentang Bahrain pada hari Sabtu ini.

“Wahai FAM, bawa pasukan bertemu dia. Biar pemain lihat sendiri. Jika ini masih tidak menyalakan api dalam diri mereka, saya tidak tahu lagi nak buat macam mana, ” tulis Shazwan Wong.

“Patut dijemput untuk berjumpa pemain masa sesi latihan supaya para pemain ada pembakar semangat yang lebih bila dorang tahu dibelakang yang setia menyokong ni merupakan jiwa-jiwa istimewa yang nak dengar Harimau Malaya mengaum di bumi Qatar,” tulis GGarifazizi.

“FAM, tolongg sampaikan pada pemain-pemain negara Untuk bayar balik ‘hutang’ kemenangan pada dia ni,” tulis jaiyen.

Selepas 0-4 kepada Jordan, Malaysia memerlukan tiga mata untuk mencerahkan peluang mara ke peringkat kalah mati. Hanya dua pasukan teratas kumpulan mara ke peringkat seterusnya bersama 4 pasukan tempat ketiga terbaik.