Semalam berlangsungnya debat Ekonomi di antara dua tokoh muda negara. Di bahagian pembangkang, Syahir Sulaiman, Ahli Parlimen Bachok dari parti PAS. Manakala Rafizi Ramli, selaku Menteri Ekonomi duduk di bahagian kerajaan.

Bagaimanapun, debat semalam yang dijangkakan sengit nampaknya tidak seperti yang dibayangkan penonton. Sepanjang debat itu berlangsung, dilihat Rafizi lebih pandai menguasai pentas serta tahu apa yang dihujahkan olehnya. Manakala Syahir, walaupun mempunyai idea, tetapi gagal membentangkan hujah ekonominya dan lebih banyak menceritakan soal-soal lain.

Dalam salah satu klip tular yang dikeluarkan oleh Astro Awani, Rafizi mempersoalkan hujah yang dikeluarkan oleh Syahir yang lebih terarah kepada ceramah politik dan bukannya hujah ekonomi.

“Saya tunggu lama…mana modelnya? Saya ingat malam ini saya tak perlu berceramah politik tapi yang saya dapat adalah ceramah politik berulang-ulang,” katanya sebelum menambah. Alhamdulillah, apa yang disebut tadi nampaknya [seolah] bersetuju dengan yang saya sebut kerana kerjanya mengulang-ulang apa yang saya sebut cuma bezanya saudara Syahir menambah dengan dalil-dalil.”

Debat ini telah ditonton oleh hampir seluruh rakyat Malaysia. Kebetulan pula Pilihan Raya Negeri akan berlangsung Sabtu ini melibatkan Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan. Sudah pasti debat ini menjadi medan untuk rakyat Malaysia memilih siapakah parti atau gabungan politik yang layak untuk mengetuai negeri masing-masing.

Walaupun tiada kalah atau menang di dalam program debat ini, namun rakyat menilai siapa dan gabungan politik mana yang mampu membawa masa hadapan Malaysia ke hadapan.