Mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, mengesahkan akan meneruskan tuntutan saman terhadap pempengaruh media sosial, Caprice.

Keputusan ini dibuat selepas peluang yang diberikan kepada individu berkenaan untuk mengemukakan penjelasan serta permohonan maaf secara terbuka tidak diendahkan.

Menurut beliau, perbincangan bersama barisan peguam telah pun dilakukan bagi memulakan prosiding undang-undang.

Tindakan ini diambil susulan kandungan media sosial yang dimuat naik oleh pempengaruh tersebut yang mendakwa Datuk Seri Rafizi mempunyai kepentingan peribadi dalam syarikat miliknya, sekali gus dilihat sebagai satu bentuk fitnah.

“Saya akan saman. Proses saman ini kita kena terangkan bagi penjelasan. Selepas kita bagi penjelasan, kita bagi dia peluang beri penjelasan kepada pendengar-pendengar dia dan kita bagi dia peluang minta maaf.

“Kita sudah beri semua peluang itu sejak tiga hari yang lepas. Bukan sahaja dia tidak minta maaf, tak kongsi tapi dia dok sibuk dengan satu-satunya ayat dia, koyak, koyak, koyak.

“Jadi sebab itu saya sudah bincang dengan peguam saya, kita akan teruskan saman kepada Caprice,” katanya menerusi podcast Yang Terhenti Menteri malam tadi yang dilaporkan oleh MalaysiaGazette.

Bakal teliti setiap aspek dalam konflik

Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan bahawa beliau akan meneliti setiap aspek berkaitan konfliknya dengan pempengaruh, Caprice, secara terperinci.

Mengulas mengenai kenyataan Caprice yang mendakwa dirinya sekadar “bertanya”, Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan bahawa dalam undang-undang fitnah, soalan yang mengandungi unsur tuduhan atau sindiran tetap boleh diambil tindakan.

Sindir atau Tanya? Ada Bezanya

Menurut Rafizi, hujah “hanya bertanya” tidak boleh dijadikan pembelaan (defence) di mahkamah jika ia melibatkan elemen innuendo (sindiran halus) atau insinuation.

“Walaupun ia dalam bentuk pertanyaan, jika ia bertujuan untuk membina naratif fitnah atau memberikan gambaran buruk yang tidak benar, ia tetap dikira sebagai fitnah,” jelas beliau.

Tuntutan Balas daripada Caprice

Sebelum ini, Caprice melalui peguamnya telah menghantar notis tuntutan (LOD) kepada Rafizi. Beliau mendesak agar Rafizi memadam semua hantaran yang dianggap memfitnahnya dan membuat permohonan maaf sebelum jam 5 petang hari ini.

Isu ini berakar umbi daripada dakwaan Caprice mengenai kes rasuah bernilai RM2.5 bilion yang dikaitkan dengan kontrak syarikat milik Rafizi.

Walau bagaimanapun, Caprice menafikan pernah menyebut jumlah tersebut mahupun menggunakan perkataan “rasuah” dalam videonya.

Tiada Elemen Rasuah dalam Kontrak Semikonduktor

Dalam perkembangan sama, Rafizi turut menyangkal dakwaan wujudnya rasuah dalam perjanjian kerajaan dengan syarikat semikonduktor yang kini dalam perhatian SPRM.

Tegasnya, untuk membuktikan sesuatu kes rasuah, perlu ada tiga elemen utama iaitu pemberi, penerima dan campur tangan.

“Dalam kes ini, ketiga-tiga elemen tersebut langsung tidak wujud,” ujar beliau bagi menutup spekulasi berkenaan.