Fasiliti lengkap merupakan antara elemen penting diperlukan setiap kelab bola sepak di seluruh dunia. Perkara itu turut dititikberatkan oleh Songkhla FC.

Wakil The Vocket tempoh hari berkesempatan mengunjungi pusat latihan kelab yang kini beraksi dalam saingan Thai League 3.

Baca Juga:

Malah pengurus pasukan yang dikenali sebagai ‘Mermaid Samila’ itu, Phongsarun Inthuset turut sudi meluangkan masa untuk menunjukkan fasiliti dimiliki oleh Songkhla FC.

Pengurus Songkhla FC, Phongsarun Inthuset (kanan)

Walaupun tidak semewah pusat latihan Buriram United atau Johor Darul Ta’zim (JDT), tetapi keperluan asas buat para pemain dan pasukan tersedia dengan baik daripada pelbagai aspek.

Terletak di Khuan Lang (wilayah Hat Yai), pusat latihan ini mempunyai tiga padang rumput yang diselenggara dengan cukup sistematik.

Pusat latihan yang mula digunakan pada tahun 2020 itu juga turut dilengkapi dengan kemudahan gimnasium dan peralatannya kelihatan berada di tahap terbaik.

Songkhla FC mempunyai tiga padang latihan yang berkualiti
Gimnasium yang disediakan kelab

Tonggak import (dua dari Nigeria dan seorang pemain Brazil) dan pemain-pemain yang tinggal jauh dari Songkhla serta Hat Yai diberikan bilik khas di sana.

Malah, dua unit asrama diberikan sebagai penempatan buat pemain-pemain akademi. Untuk keselesaan buat pemain-pemain muda tersebut, dua pendingin hawa dengan kapasiti besar turut diletakkan di setiap bilik.

Bagi setiap pemain yang tinggal di pusat latihan itu, mereka semua akan menikmati makanan yang akan disediakan oleh chef  pasukan.

Ruangan dapur

Sehubungan dengan itu, ruangan dapur yang cukup selesa dan bersih turut disediakan untuk memudahkan tugasan berhubung masakan untuk para pemain tersebut.

Bagi pemain yang mengalami kecederaan, Songkhla FC turut menyediakan bilik khas untuk proses rawatan dan pemulihan.

Bilik rawatan pemulihan
Antara ‘hiburan’ dalam bilik rehat pemain

Bilik rehat buat para pemain pula dilengkapi dengan dua set permainan konsol Playstation 5 dan Televisyen, dua set komputer dan meja snuker.

Turut terdapat bilik bagi memudahkan urusan pasukan media untuk sesi bergambar atas tujuan promosi, penyediaan poster dan sebagainya.

Selain itu bilik untuk pengurus pasukan, ketua jurulatih skuad utama, akademi, bilik mesyuarat dan pejabat bagi kakitangan di belakang tabir turut disediakan.

Untuk mengawasi pergerakan mereka yang tinggal di pusat latihan serta memantau kehadiran pemain ke sesi latihan, para pemain perlu ‘thumbprint’ sebelum dan selepas latihan.

Walaupun hanya sebuah pasukan dalam saingan tier ketiga bola sepak Thailand serta berstatus pasukan semi-profesional, namun inisiatif diambil Songkhla FC sewajarnya dipuji.

Ia seharusnya menjadi tamparan hebat kepada sebahagian besar pasukan dalam kancah Liga Malaysia yang dilihat lebih gemar memenuhkan kuota maksimum pemain import berbanding membangunkan perkara lebih penting iaitu fasiliti.

Masih ada lagi kelab menyewa padang latihan, gimnasium serta pejabat pasukan. Mungkin tabung kelab masih belum mencukupi atau tiada tanah untuk membangunkan pusat latihan.

Buat Songkhla FC, terima kasih atas layanan baik dan selamat maju jaya!