Real Madrid telah membuka siasatan disiplin luar biasa terhadap Federico Valverde dan Aurelien Tchouameni susulan pergaduhan ganas semasa sesi latihan.

Kedua-dua pemain itu bakal berdepan tindakan dalaman yang berat, termasuk penggantungan penuh daripada tugas serta pemotongan gaji dalam jumlah yang besar.

Menurut sumber laporan Goal, walaupun terdapat cubaan secara terbuka untuk meredakan isu tersebut, Real Madrid mengesahkan bahawa berlaku pertengkaran fizikal serius antara Aurelien Tchouameni dan Federico Valverde.

Valverde, Tchouameni Buat Hal

Siasatan dalaman kelab kini tertumpu kepada pelanggaran disiplin yang dianggap sangat serius sehingga menyebabkan Valverde memerlukan rawatan hospital akibat kecederaan di kepala, dengan tempoh pemulihan dianggarkan sehingga 14 hari.

Seorang pegawai penyiasat rasmi telah dilantik untuk mengendalikan prosiding tersebut, yang boleh menyebabkan kedua-dua pemain tengah itu digantung daripada semua tugasan sehingga sebulan.

Proses disiplin itu memerlukan pegawai penyiasat yang baharu dilantik menyediakan kenyataan rasmi pertuduhan berdasarkan keterangan saksi serta bukti yang dikumpulkan di pusat latihan.

Sebaik sahaja pertuduhan tersebut diserahkan secara rasmi,  Valverde dan Tchouameni akan diberikan tempoh tertentu untuk mengemukakan kenyataan pembelaan mereka kepada penyiasat.

Difahamkan, kedua-dua pemain itu boleh dikenakan ‘penggantungan daripada tugas dan gaji selama 10 hingga 30 hari’ sekiranya pertuduhan dalaman tersebut disahkan.

Keputusan untuk membuka kes rasmi menunjukkan bahawa pihak pengurusan Real Madrid memandang insiden pergaduhan itu sebagai ‘situasi yang sangat serius’ dan memerlukan pengendalian dari sudut perundangan secara tegas.

Selain kehilangan pendapatan dalam tempoh penggantungan, kedua-dua pemain itu juga mungkin berdepan hukuman kewangan tambahan yang dikenakan kelab susulan kerosakan terhadap suasana profesional dalam pasukan.

Proses dalaman ini dijangka berlangsung selama beberapa minggu dan masih belum jelas sama ada hukuman penggantungan tersebut akan dilaksanakan pada musim semasa ataupun ditangguhkan ke musim depan.

Sumber