Dua pemain Argentina, Leandro Paredes dan Nahuel Molina menerima hukuman penggantungan berat daripada FIFA susulan pergaduhan besar-besaran yang tercetus pada penghujung aksi final Piala Dunia 2026 menentang Sepanyol, bulan lalu.

Menurut laporan Goal, FIFA hari ini mengumumkan Leandro Paredes digantung 10 perlawanan dan didenda $90,000 atas tindakan ganasnya selepas aksi final Piala Dunia tempoh hari.

Rakan sepasukannya, Nahuel Molina pula bakal menjalani penggantungan tujuh perlawanan selain dikenakan denda $90,000.

Badan induk bola sepak dunia itu turut mengeluarkan kenyataan berhubung hukuman berat yang dikenakan susulan pergaduhan yang tercetus sebaik wisel penamat dibunyikan.

Penolong jurulatih Argentina, Roberto Ayala turut dikenakan penggantungan tiga perlawanan dan denda $30,000 sekali gus menyaksikan juara Amerika Selatan itu berdepan tindakan disiplin serius susulan insiden selepas perlawanan.

Argentina
Kredit Foto: PATRICIA DE MELO MOREIRA / AFP

Paredes, Molina Terima Akibat

Insiden buruk itu berlaku apabila Paredes menolak pemain tengah Sepanyol, Gavi sehingga terjatuh sejurus wisel penamat dibunyikan.

Ketegangan kemudian memuncak apabila pemain gantian Sepanyol berlari masuk ke dalam padang untuk meraikan kemenangan 1-0 mereka, sekali gus mencetuskan pergaduhan secara besar-besaran.

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni akhirnya terpaksa campur tangan bagi meredakan ketegangan yang berlaku selepas perlawanan sengit tersebut.

Atas peranan masing-masing dalam pergaduhan berkenaan, Thiago Almada dan Gavi turut dikenakan penggantungan satu perlawanan serta denda $30,000.

Pengakhiran penuh kekecohan itu menjadi penutup yang pahit kepada kejohanan tersebut.

Sumber