Crystal Palace bukanlah pasukan gergasi dalam kancah English Premier League (EPL) jika melihatkan kepada prestasi dan pencapaian kelab tersebut.

Selepas dinaikkan pangkat ke EPL pada musim 2013/14 setelah menanti selama lapan tahun untuk kembali, The Eagles menjadi ‘penghuni’ tetap liga paling popular di dunia itu hingga ke hari ini.

Baca Juga:

Musim 2014/15 dan 2023/24 menjadi kempen terbaik buat Crystal Palace apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-10.

Namun ada perkara lebih menarik dapat dikongsikan sekiranya mengulas mengenai pasukan yang kini dibimbing oleh Oliver Glasner ini.

Apa yang dilakukan oleh Crystal Palace?

Perkara dimaksudkan ialah Crystal Palace menjadi kelab pertama mewujudkan pakej penjagaan selama tiga tahun buat para pemain yang tidak mempunyai kelab setelah dilepaskan akademi masing-masing.

Ia bagaimanapun bukanlah perkara baharu kerana pakej tersebut telah diperkenalkan pada Januari 2022.

Pakej itu melibatkan para pemain berusia 18 hingga 23 tahun yang telah dilepaskan atau lebih tepat lagi tidak diperlukan oleh kelab masing-masing.

Menurut sumber laman sesawang rasmi Crystal Palace, seorang Pegawai Penjagaan Pemain yang berdedikasi akan menghubungi kesemua pemain terlibat untuk tempoh masa panjang, sambil menyokong perjalanan bola sepak mereka.

Pegawai tersebut juga akan membantu barisan pemain tidak bernasib baik itu untuk mencari kelab baharu, menyediakan program pendidikan atau peluang pekerjaan lain buat mereka.

”Peranan utama akademi adalah untuk menghasilkan pemain bola sepak untuk pasukan utama kelab, tetapi kami mempunyai tanggungjawab dan kewajipan moral untuk memelihara dan membimbing lebih daripada 200 pemain di bawah jagaan kami,” ujar Pengerusi Crystal Palace, Steve Parish.

 Crystal Palace
Keadaan akademi Crystal Palace. Kredit Foto: Crystal Palace

“Pengalaman akademi adalah sesuatu yang sangat berharga bagi pemain muda kami, di mana mereka sudah pasti akan berkembang sebagai pemain bola sepak, tetapi juga sebagai individu muda, dengan diajar pelbagai kemahiran hidup yang sangat bermanfaat.”

“Kami menyediakan pendidikan yang cemerlang bagi mereka yang berada di bawah jagaan sepenuh masa dan program pendidikan hibrid, yang akan memperluas peluang masa depan semua pemain.”

“Tetapi kami sedar bahawa apabila seorang pemain Akademi yang lebih tua dilepaskan, ia mungkin dirasakan seperti akhir dunia bagi pemain muda itu, dan kami mesti melakukan yang terbaik untuk menawarkan sokongan kepada pemain yang terlibat melalui proses itu dan membimbing mereka ke peringkat seterusnya dalam perjalanan mereka.”

“Itu biasanya bermula dengan kami memperkenalkan mereka kepada kelab-kelab baru atau terus memasukkan pemain dalam perlawanan untuk membolehkan kelab lain menyaksikan mereka bermain.”

“Tetapi ia juga mungkin melibatkan membantu mereka meneruskan pendidikan atau memulakan kehidupan di luar bola sepak di tempat kerja.”

“Apa pun laluan mereka, kami ingin menawarkan sokongan kepada mereka untuk membantu mereka mencapai kejayaan,” tambah Parish lagi.

Inisiatid diambil Crystal Palace wajar dipuji atas segala usaha mereka dalam memastikan kesejahteraan pemain yang lebih baik pada masa depan sebagai sebahagian penting dalam pembangunan berterusan kelab.

Malah, Crystal Palace juga memiliki fasiliti terbaik untuk pembangunan bakat muda dengan pelaburan bernilai £20 juta dalam membina keperluan akademi di sana.