Romelu Lukaku menjanjikan lebih daripada sekadar jaringan buat penyokong Fenerbahce selepas berjaya melengkapkan perpindahan dari Napoli.

Penyerang berpengalaman Belgium itu berhasrat untuk menguasai bahasa Turki dalam tempoh beberapa bulan, selain menekankan hubungan kekeluargaan yang kuat dengan negara tersebut selepas akhirnya menyertai kelab gergasi Turkish Super Lig itu.

Selain reputasinya sebagai penjaring prolifik dalam pelbagai pertandingan elit Eropah, Lukaku turut dikenali kerana kebolehannya menguasai pelbagai bahasa di luar padang.

Lukaku Mahu Pelajari Bahasa Turkiye

Penyerang berusia 33 tahun itu fasih dalam tujuh bahasa iaitu Belanda, Perancis, Inggeris, Lingala (Congo), Sepanyol, Itali dan Portugis.

Bertekad untuk menyesuaikan diri dengan budaya bola sepak Turkiye, pemain skuad kebangsaan Belgium itu mahu menguasai bahasa tempatan bagi membina hubungan lebih rapat dengan rakan sepasukan, kakitangan kelab serta penyokong Fenerbahce yang begitu fanatik di Istanbul.

“Saya rasa saya akan mula mengikuti kelas pada Isnin nanti. Saya mahu belajar bahasa Turkiye,” ujar Lukaku menurut sumber laporan Goal.

“Di setiap kelab yang pernah saya sertai, saya sentiasa mahu dapat berkomunikasi dengan orang di sana. Harapnya saya boleh bertutur dalam bahasa Turkiye dalam tempoh tiga hingga empat bulan. Ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya akan cuba sedaya upaya.”

Lukaku turut meluahkan rasa lega kerana perpindahan yang dinantikan akhirnya menjadi kenyataan.

“Anda tahu, sebenarnya saya sudah menunggu perpindahan ini selama sebulan. Satu penghormatan untuk berada di sini dan ia merupakan sesuatu yang sudah lama saya inginkan,” tambahnya lagi.

Hubungan emosional Lukaku dengan Turkiye juga berpunca daripada mendiang bapanya yang pernah beraksi di negara itu pada era 1990-an.

“Bapa saya pernah bermain di Turkiye pada 1996. Sebab itu negara yang indah ini umpama rumah kedua buat saya. Saya masih mengingati detik-detik tersebut dengan jelas. Ketika itulah saya sedar bahawa saya mahu menjadi pemain bola sepak profesional.”

Lukaku turut berkongsi hubungan istimewa keluarganya dengan kelab baharunya.

“Adik-beradik saya, Jordan, juga pernah bermain di sini. Gol terakhir bapa saya di Turki sebenarnya dijaringkan ketika menentang Fenerbahce.”

“Dan satu-satunya perlawanan yang pernah saya mainkan di Turkiye sebelum ini juga berlangsung di stadium ini. Beraksi untuk Fenerbahce adalah sesuatu yang saya perlukan,” tambahnya lagi.

Sumber