Penyerang Belgium, Romelu Lukaku tanpa berselindung mendedahkan alasannya memberikan laluan buat Youri Tielemans untuk mengambil sepakan penalti pada aksi bertemu Senegal pagi tadi.
Selepas ketinggalan dua gol, Belgium bangkit dengan penuh bergaya terutamanya pada lewat permainan babak kedua dan akhirnya Tielemans menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-120+5 untuk membawa The Red Devils ke pusingan 16.
Kemenangan yang menyaksikan skuad kendalian Rudi Garcia itu menempah pertemuan menentang tuan rumah bersama, Amerika Syarikat.
Di sebalik kejayaan tersebut, Lukaku yang masuk pada minit ke-46 dan kemudiannya menghidupkan kembali peluang Belgium dengan jaringan minit ke-86 telah mengambil satu langkah penting buat pasukannya.
Lukaku Enggan Ambil Sepakan Penalti
Sebagai seorang ‘pelaksana wajib’ setiap kali sepakan penalti diberikan kepada Belgium, Lukaku bertindak sebaliknya dengan memberikan peluang kepada Tielemans walaupun pada mulanya sudah memegang bola untuk menunjukkan keinginannya mengambil sepakan tersebut.
“Benar saya boleh mengambil sepakan penalti itu, tetapi secara mental saya masih melalui tempoh yang sukar dan saya rasa lebih baik jika Youri yang mengambilnya.”
“Saya bukan individu yang perlu menang tetapi [kejayaan] pasukan adalah perkara paling penting,” ujar beliau menurut sumber laporan Sporza.