Bekas pemain skuad kebangsaan Brazil, Oscar meninggalkan kelab Liga Super China (CSL), Shanghai Port selepas lapan musim beraksi bersama pasukan itu.

Baru-baru ini, Oscar mengumumkan bahawa beliau tidak menyambung kontraknya yang tamat pada Disember tahun ini sekaligus memutuskan untuk meninggalkan pasukan yang disertainya pada 2017 itu.

Baca Juga:

Perpindahan pemain Brazil itu ke China pada 2017 memberi kejutan besar kepada peminat di seluruh Eropah dan Amerika Selatan, dengan ramai yang mengejek pemain itu kerana berpindah ke liga yang jauh lebih rendah standardnya pada kemuncak kariernya.

Akan tetapi, bekas pemain Chelsea itu tidak menghiraukan segala kritikan yang dilontarkan terhadapnya dan kekal dengan keputusan untuk berpindah ke Shanghai dan menerima gaji sebanyak £400,000 seminggu, yang mana beliau muncul sebagai antara pemain yang menerima gaji tertinggi di dunia.

Walaupun kelab Eropah lain berminat untuk mendapatkan khidmatnya, Oscar mengakui bahawa dia menerima tawaran dari Shanghai kerana memikirkan untuk menyara keluarganya berbanding kerjayanya sendiri

Secara keseluruhan, Oscar telah menjaringkan 77 gol dalam 248 penampilan untuk Shanghai Port. Dia membantu kelab itu memenangi Liga Super pada 2018, menjaringkan 12 gol pada musim liga itu, dan Piala Super FA China pada 2019. Bagaimanapun, dia menjadi tajuk utama pada 2017 apabila digantung selama lapan perlawanan kerana dua kali sengaja menendang bola ke muka pemain Guangzhou.

Oscar telah dibayar £400,000 seminggu selama tujuh tahun. Dari segi gaji sahaja, Oscar mengaut lebih £150 juta. Itu kira-kira empat kali lebih banyak daripada yang dia akan perolehi sekiranya dia kekal beraksi di Eropah.

Menurut laporan, beliau turut mendapat tambahan £25 Juta dari segi penajaan sepanjang beraksi bersama Shanghai.

Oscar kini berusia 33 tahun dan beliau meninggalkan legasi yang cukup besar di China. Sepanjang tempoh lapan tahun, pemain itu telah membuat sebanyak 248 penampilan, menjaringkan 77 gol dan mencipta 141 bantuan jaringan.