Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Yang Berhormat (YB) Sandrea Ng Shy Ching mendedahkan Stadium Perak dijangka akan dapat digunakan sepenuhnya pada September nanti.
Sejak diumumkan bakal menikmati padang baharu pada 12 Oktober 2024, status projek kerja naik taraf di stadium tersebut menjadi persoalan, terutamanya dalam kalangan peminat bola sepak Perak.
Hal ini kerana pasukan Perak yang kini sedang mengharungi saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26 beraksi di Kompleks Bola Sepak Chepor.
Manakala Perak terpaksa menjadikan Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebagai gelanggang tuan rumah untuk saingan Piala Malaysia dan Piala Cabaran.
Pada peringkat awal, projek Stadium Perak itu dirancang untuk disiapkan lebih awal. Namun begitu, beberapa kekangan seperti faktor cuaca selain penyesuaian semula skop kerja memaksa jadual asal dirombak.
Situasi itu menyebabkan kemajuan fizikal semasa dianggarkan sekitar 10 peratus lewat berbanding perancangan awal.
Padang Stadium Perak Bakal Berwajah Baru
Menurut sumber laporan Harian Metro, Sandrea yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja mengakui segala kerja naik taraf terutamanya melibatkan penukaran rumput padang telah mencapai 75 peratus.
Kerja-kerja penaiktarafan Stadium Perak yang bermula pada Jun tahun lalu dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai pihak, melibatkan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta kerajaan negeri Perak.
Secara keseluruhan, projek tersebut menelan belanja lebih RM1.2 juta, termasuk kerja tambahan membabitkan pemasangan sistem siraman automatik (sprinkler).
“Projek dijangka siap sepenuhnya sekitar akhir Mac hingga April 2026, diikuti tempoh pematangan rumput sebelum padang boleh digunakan secara optimum.”
“Jadi kita jangka sekitar bulan September ia boleh digunakan supaya boleh selesai semuanya dan siap sedia untuk dibuka kepada perlawanan dan sebagainya,”
Dalam pada itu, Sandrea menjelaskan sebanyak 24 nozel automatik telah dipasang di permukaan padang stadium berkenaan bagi memastikan sistem siraman air berfungsi dengan lebih menyeluruh, sekali gus menjamin kelembapan rumput kekal sekata dan konsisten di setiap bahagian.
“Keputusan menambah sistem ‘sprinkler’ dibuat selepas semakan teknikal mendapati pemasangan perlu dilakukan sebelum kerja penanaman rumput bagi mengelakkan risiko kerosakan struktur padang serta kos pembaikan pada masa hadapan.”
“Sebelum ini kaedah siraman dilakukan secara manual dan bergantung pada tenaga kerja, sekali gus menyebabkan pengagihan air kurang konsisten,” ujar beliau bercakap kepada wakil Harian Metro.
Tambah beliau, keputusan menggunakan rumput jenis Axonopus Putra menggantikan cadangan awal Zeon Zoysia dibuat selepas mengambil kira beberapa kajian kes di negeri lain, termasuk pengalaman di Terengganu.
Berdasarkan penilaian itu, pilihan berkenaan dilihat lebih sesuai dengan keadaan cuaca serta faktor penyelenggaraan jangka panjang.