Skuad Liga Super Perak terpaksa beraksi di luar Ipoh bermula November ini apabila kerja menaik taraf menggantikan rumput padang Stadium Perak akan bermula pada bulan tersebut.

Satu keadaan yang memaksa anak buah Yusri Che Lah itu beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sehingga segala kerja naik taraf itu selesai.

Baca Juga:

Satu lagi pilihan yang diutarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah adalah dengan bermain di tempat lawan sepanjang tempoh tersebut.

Meskipun ia hanyalah sekadar cadangan dan belum pasti akan direalisasikan, tetapi Perak pernah melalui situasi tersebut dalam saingan Liga Perdana Satu 1997.

14 perlawanan tempat lawan berturut-turut dihadapi

Hal ini kerana Perak terpaksa beraksi kesemua 14 perlawanan pusingan pertama di gelanggang lawan ekoran proses baik pulih Stadium Perak kerana terpilih menjadi salah satu gelanggang Piala Dunia Remaja 1997.

Keadaan tersebut jelas menjadi masalah besar buat Perak yang ketika itu dibimbing mendiang Karl-Heinz Weigang dimana mereka hanya mampu meraih tiga kemenangan iaitu ketika bertemu Kelantan (1-0), Selangor (3-2) dan Johor dengan keputusan 3-1.

Selain itu, Perak hanya mencatatkan dua keputusan seri dan tewas sembilan perlawanan untuk mengumpul 11 mata dan terjerumus ke dasar liga.

Keadaan itu nyata membuatkan kem Perak berdepan kesukaran dan hakikat itu diakui sendiri Suhaimi Mat Lazim yang merupakan salah seorang anggota skuad Yop pada ketika itu.

Beliau yang kini merupakan jurulatih penjaga gol skuad Piala MFL Perak mendedahkan kesukaran tersebut ekoran masa para pemain di Ipoh sangat terhad.

Kredit Foto: Facebook Syed Shahrul Nizam

Ada satu keadaan sebaik sahaja tamat aksi menentang Kelantan di Kota Bharu pada 29 Mei, pasukan terpaksa bergegas ke Kuantan untuk perlawanan bertemu Pahang (3 Mei).

Tamat aksi di Pahang, pasukan tinggal di asrama selama beberapa hari di sana untuk menjalani latihan dan kemudiannya berlepas ke Sarawak untuk aksi seterusnya.

Selain daripada terpaksa menghadapi tekanan beraksi secara berturut-turut di gelanggang lawan, Perak perlu ke Brunei (15 April), Sabah (26 April) dan Sarawak [6 Mei] dalam tempoh kurang daripada dua bulan.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Suhaimi tanpa berselindung mengakui barisan pemain sedikit terganggu dengan keadaan dilalui, terutamanya buat pemain yang sudah berkeluarga.

Tetapi pemain tetap bersemangat untuk menghadapi perlawanan demi perlawanan walaupun berdepan kesukaran demi pasukan.

Kembali ke Stadium Perak dengan cukup hebat

Sebaik sahaja Stadium Perak selesai proses baik pulih, stadium tersebut masih gagal memenuhi piawaian ditetapkan untuk penganjuran perlawanan Piala Dunia Remaja hingga menyaksikan Stadium Utama Kangar (kini Stadium Tuanku Syed Putra) menjadi pengganti.

Selepas hanya 11 mata diraih, Perak membuat perubahan pada rehat pertengahan musim dengan membawa masuk Laszlo Repasi dan Janos Krescka dari Hungary bagi menggantikan Zlatko Vidan serta Kim Sang Hun.

Kembali mendapat sokongan padu para penyokong serta impak pantas ditampilkan duo tersebut, Perak jelas sekali telah menampakkan perubahan positif.

Bermula dengan kekalahan 1-2 ketika bertemu Terengganu dan Brunei, anak buah Weigang itu cukup garang dengan sembilan kemenangan dan tiga keputusan seri untuk mengumpul 41 mata hingga berjaya menamatkan saingan liga dikedudukan kelapan.

Malah, Laszlo Repasi turut mencuri tumpuan dengan 19 gol dihasilkannya sehingga menjadikan beliau sebagai penjaring terbanyak, hanya satu gol meninggalkan penyerang import Kedah, Carlos Robeirio.

Satu pencapaian yang bukan mudah untuk dikecapi tetapi para pemain skuad Yop pada ketika itu mengenepikan segala rasa kesukaran tersebut untuk membuktikan kemampuan diri demi pasukan diwakili.

Berikut merupakan jadual perlawanan pusingan pertama dihadapi Perak pada ketika itu:

1) Kalah kepada Brunei 0-3 (15 April)

2) Kalah kepada Pulau Pinang 0-1 (19 April)

3) Kalah kepada Sabah 0-2 (26 April)

4) Tewaskan Kelantan 1-0 (29 April)

5) Kalah kepada Pahang 1-2 (3 Mei)

6) Kalah kepada Sarawak 0-3 (6 Mei)

7) Tewaskan Selangor 3-2 (10 Mei)

8) Kalah kepada Kedah 2-5 (17 Mei)

9) Seri dengan Kuala Lumpur 0-0 (20 Mei)

10) Kalah kepada Perlis 0-1 (24 Mei)

11) Kalah kepada Negeri Sembilan 1-2 (31 Mei)

12) Kalah kepada Melaka 2-3 (3 Jun)

13) Tewaskan Johor 3-1 (7 Jun)

14) Seri dengan Terengganu 1-1 (10 Jun)