Walaupun Thomas Tuchel baru-baru ini menandatangani lanjutan kontrak bersama England, masa depannya dalam jangka panjang masih bergantung kepada kejayaan segera di pentas dunia.
Meskipun perjanjian baharu itu bertujuan mengekalkannya sehingga Euro 2028, difahamkan bahawa Persatuan Bola Sepak England (FA) telah melindungi kepentingannya dengan memasukkan beberapa klausa perlindungan khusus dalam kontrak tersebut.
Menurut sumber laporan Goal, FA mengesahkan bahawa tempoh Thomas Tuchel sebagai pengurus England boleh dipendekkan sekiranya skuad The Three Lions gagal memenuhi jangkaan pada Piala Dunia musim panas ini di Amerika Utara.

Walaupun pengendali dari Jerman itu diberikan lanjutan kontrak selama dua tahun pada Februari lalu, perjanjian tersebut banyak bergantung kepada kemampuan pasukannya mencapai sasaran yang ditetapkan pada kejohanan berkenaan.
Klausa Prestasi Buat Tuchel
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak England (FA), Mark Bullingham mendedahkan bahawa badan induk itu telah memasukkan ‘klausa prestasi’ dalam kontrak tersebut.
Ia memastikan FA mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan di kerusi pengurus sekiranya kempen di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada berakhir dengan kegagalan.
Bercakap di kem latihan pasukan di Kansas City, Bullingham berkata: “Terdapat klausa prestasi dalam setiap kontrak di FA, tetapi saya tidak akan mendedahkan sebarang perincian mengenainya.”
Keputusan untuk melanjutkan kontrak Tuchel sebelum sepak mula Piala Dunia berlangsung merupakan langkah strategik yang bertujuan mengelakkan sebarang gangguan.
Jika FA menangguhkan keputusan itu, Tuchel akan memasuki kejohanan tersebut dengan kontrak asalnya bakal tamat sebaik Piala Dunia berakhir, sekali gus berpotensi mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya serta minat daripada kelab-kelab elit Eropah.

Bullingham mempertahankan masa keputusan pembaharuan kontrak itu dengan menjelaskan bahawa pengurus bertaraf tinggi seperti Tuchel tidak akan kekal tanpa tawaran untuk tempoh yang lama.
“Realitinya, dia ialah seorang pengurus bertaraf tinggi yang sentiasa menjadi buruan. Kami tahu kami mempunyai seseorang yang menjalankan tugas dengan sangat baik dan kami tidak boleh mengharapkan dia terus menunggu sambil melihat apa yang akan berlaku,” kata Bullingham.
Beliau turut menambah bahawa bagi menghadapi kejohanan di laman sendiri seperti Euro 2028, FA mahukan seorang pengurus yang “sudah pernah melaluinya dan mempunyai pengalaman mengendalikan situasi seperti itu.”