Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek menggesa supaya Lee Zii Jia untuk hanya bertanding apabila beliau merasakan dirinya benar-benar cergas 100 peratus.

Rashid juga menasihati Zii Jia agar berhenti menarik diri daripada kejohanan akibat kecederaan dan menganggap perkara tersebut hanya akan merosakkan reputasinya sebagai pemain badminton profesional.

Baca Juga:

Nasihat itu diberikan selepas Zii Jia sah menarik diri daripada kejohanan Terbuka Swiss yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan.

Bekas pemenang pingat gangsa Olimpik itu juga menekankan bahawa Zii Jia mesti menetapkan keutamaan yang betul, hanya menyertai pertandingan apabila beliau sudah bersedia dari segi fizikal dan mental.

Nasihat Rashid Sidek Buat Lee Zii Jia

“Sebagai seorang profesional, Zii Jia harus bersedia sepenuhnya sebelum membuat keputusan untuk bertanding,” ujar Rashid Sidek menurut sumber laporan New Straits Times.

“Di Orleans [Masters], matlamat dia seharusnya adalah untuk memenangi gelaran, jadi kekalahan kepada [Nhat] Nguyen tidak boleh diterima.”

“Dia mesti menetapkan standard yang lebih tinggi untuk dirinya sendiri. Menarik diri dari kejohanan dan kalah kepada pemain yang kurang dikenali tidak memberi gambaran yang baik tentang dirinya.”

“Lihatlah Viktor Axelsen — dia jarang kalah kepada lawan yang lebih rendah kedudukannya, dan apabila dia kalah, ia biasanya disebabkan oleh prestasi yang tidak baik.”

“Jika kecederaan pergelangan kaki Zii Jia serius, dia harus fokus untuk pemulihan sepenuhnya. Pada usia 26 tahun, proses penyembuhannya seharusnya lebih cepat.”

“Dia mungkin bertanding di All England kerana keperluan 15 pemain terbaik ranking BWF dan tanggungjawab penajaan, tetapi dia mesti memastikan dirinya benar-benar cergas untuk kejohanan elit,” tambah Rashid Sidek lagi.

Pada aksi pusingan pertama All England 2025 kelmarin, Lee Zii Jia ditunjukkan jalan keluar selepas tumbang kepada pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long dalam aksi tiga set.

Beliau pada mulanya kelihatan mengalami kecederaan pada set pertama tetapi memilih untuk meneruskan aksi dengan berjaya menang set tersebut, namun lawan yang dibimbing Wong Choon Hann itu lebih cemerlang untuk menghantar Zii Jia pulang lebih awal.