Pemain badminton perseorangan wanita ranking kedua dunia, Wang Zhi Yi dari China telah mengecapi pencapaian luar biasa dalam kariernya pada tahun 2024.
Beliau masih segar dengan kejayaan muncul juara saingan BWF World Tour Finals 2024 selepas menundukkan rakan senegara, Han Yue dengan keputusan 19-21, 21-19, 21-11.

Baca Juga:
- Senarai Pemain Malaysia Yang Memenangi Kejuaraan Siri BWF World Tour 2024
- Ini Jumlah Hadiah Wang Tunai Menanti Pemain Di BWF World Tour Finals 2024
- Rashid Sidek: Tindakan Liew Daren & Jerry Mengecewakan, Cemarkan Imej Badminton Malaysia
Kejayaan manis yang membolehkannya membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai bernilai $200,000 (RM893,003.44).
Selain pencapaian hebat di Hangzhou tersebut, pemain berusia 24 tahun itu turut muncul juara di Kejuaraan Badminton Asia, Terbuka China (Super 1000), Terbuka Denmark (Super 750) dan Indonesia Masters serta Masters yang berstatus Super 500.
Ini menyaksikan Wang Zhi Yi membawa pulang lima gelaran juara dan sekali muncul naib juara iaitu ketika di Terbuka Korea dimana beliau terpaksa menarik diri kerana kecederaan dialami.
Daripada enam pertandingan itu sahaja Zhi Yi sudah membawa pulang wang tunai keseluruhan bernilai $494,000 (RM2,208,868.65).
Dengan setiap penyertaan dalam mana-mana pertandingan di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) juga turut mendapat wang tunai, Wang Zhi Yi dikatakan mendapat jumlah keseluruhan $568,645 (RM2,542,469.83), menurut sumber laman Badminton World Tour.
Keadaan yang menjadikan beliau sebagai pemain dengan pendapatan paling tinggi pada musim 2024, menewaskan pemain-pemain lain dalam semua sektor.
Tidak dapat dipastikan bagaimana polisi kerajaan China terhadap pembahagian wang kemenangan dimenangi para atlet mereka tetapi apa yang dijelmakan oleh Wang Zhi Yi merupakan simbol kepada kekuatan negara tersebut dalam sukan badminton.