Legenda yang terkenal sebagai antara beregu lelaki terbaik pernah dilahirkan negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong mempunyai pendapat berbeza berhubung keinginan mereka dalam menjadi jurulatih di peringkat tertinggi.

Dua nama besar dalam kancah badminton tanah air itu sebelum ini dikatakan menolak tawaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menggantikan Tan Bin Shen dalam sektor beregu lelaki.

Kien Keat pernah bergelar jurulatih di Thailand bersama kelab profesional, Granular manakala Boon Heong pula memiliki akademi sendiri, TBH Badminton Academy yang diwujudkan sejak tahun 2019.

Akademi di sekitar Lembah Klang itu sudah mempunyai lebih 400 pemain dan masih beroperasi hingga ke hari ini.

Difahamkan, Kien Keat pula terlibat dalam bidang korporat sebagai Ahli Lembaga Pengarah dalam beberapa syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Mengulas mengenai keinginan mereka untuk menjadi jurulatih di peringkat tertinggi, pemenang Sukan Asia 2006 dan All England 2007 tersebut nyata mempunyai pendapat berbeza.

Mereka menyuarakan pendapat ketika menjawab pertanyaan hos terkenal Astro Arena, Ahmed Shahrazad Sani dalam rancangan temubual khas ‘The BangMed Show’ di saluran tersebut.

“Ada [merujuk kepada keinginan untuk terlibat dalam bidang kejurulatihan dengan lebih serius]. Saya pernah fikir tentang ini.”

“Pada waktu ini menjadi jurulatih adalah perancangan saya tetapi bukan dalam masa terdekat,” ujar Koo Kien Keat.

“Saya cuba untuk cepat kembali ke badminton sebagai jurulatih. Pada saya, saya rasa sedih kerana tak memberikan kembali ilmu itu kepada komuniti badminton.”

Malah, Kien Keat juga secara terbuka tidak menolak kemungkinan akan menimbang tawaran daripada BAM atau barisan pemain profesional sekiranya beliau sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Manakala lain pula cerita buat Tan Boon Heong yang cukup terkenal dengan smash padu ketika era kegemilangannya.

“Saya memang tiada keinginan untuk menjadi jurulatih. Saya hanya mahu menjadi jurulatih buat pengikut di media sosial, lagi bagus.”

“Lagi ramai [pemain], saya boleh ajar mereka menonton badminton [dengan cara lebih betul], buat analisis.”

“Saya memang tiada niat untuk menjadi jurulatih. Bukan mudah nak jadi jurulatih, nampak sahaja senang tetapi susah kerana banyak masalah perlu dihadapi,” tambah beliau lagi.