Salah seorang ejen bola sepak terkenal iaitu Jorge Mendes menegaskan beliau mempunyai perancangan untuk meningkatkan kualiti bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Menurut Mendes, populasi rantau ini yang berjumlah sekitar 697 Juta penduduk belum diterokai dengan sepenuhnya dan beliau mahu mencungkil bakat baharu yang mempunyai potensi untuk pergi dengan lebih jauh.

Baca Juga:

Bagi menjayakan projek ini, lelaki berusia 58 tahun itu sudah berbincang dengan ahli perniagaan dari Singapura yang juga pemilik Valencia iaitu Peter Lim.

“Di kemudian hari, ada akan menemui pemain berkelas dunia, itu sudah pasti. Kerana mustahil untuk kita tidak menemui sebarang bakat di kalangan 600 juta penduduk,” katanya.

Mendes menunjuk presiden Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir dan Pemangku Raja Johor iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pemilik juara Liga Super Malaysia 10 kali iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), sebagai tokoh utama projek ini.

“Anda harus mula membawa pakar dan barisan jurulatih dari beberapa negara seperti Portugal, Sepanyol dan negara Eropah yang lain.

“Kerana daripada membawa pemain, kuncinya adalah jika anda mula mengubah rancangan anda dan jika anda mula membawa masuk orang profesional, orang yang tahu apa yang sedang berlaku dan apa yang perlu dilakukan.

“Ia akan menjadi lebih baik kerana anda mempunyai terlalu ramai pemain, terlalu ramai kanak-kanak, semua orang suka bola sepak,” tambahnya.

Sepanjang bergelae ejen bola sepak, Jorge Mendes telah bekerjasama dengan beberapa pemain bintang antaranya Cristiano Ronaldo, Manuel Ugarte dan Leny Yoro selain beberapa pengurus seperti Jose Mourinho dan Ruben Amorim.