Makanan Malaysia sangat popular di kalangan orang asing kerana ia menawarkan pengalaman kulinari yang unik dan berbeza daripada hidangan lain di dunia. Populariti ini datang dari rasanya yang sedap serta kombinasi rempah ratus yang luar biasa.
Salah satu juadah tradisional yang biasanya akan dicuba oleh para pelancong apabila tiba di Malaysia terutamanya di kawasan Pantai Timur adalah nasi kerabu.
Seorang lelaki dari Australia baru-baru ini menjadi tular di media sosial selepas videonya tular semasa membeli hidangan tempatan iaitu laksam dan nasi kerabu di sebuah kedai makan.
“Kita beli laksam lagi sebab saya suka sangat dan nasi kerabu, nampak sedap untuk sarapan pagi,” ujarnya.
Menerusi video tular di TikTok yang dikongsikan oleh pengguna @justyn.ali, seorang lelaki dari Australia kelihatan amat teruja dan tidak sabar untuk menikmati nasi kerabu.
Perasaannya itu timbul kerana hidangan tersebut lengkap dengan lauk-pauk autentik seperti ayam madu, sambal budu, telur masin, dan ulam-ulaman.
Lelaki itu yang fasih berbahasa Melayu dengan dialek Terengganu mendakwa inilah pengalaman pertama kali untuk merasai juadah tradisional itu.
Apabila dia mula makan, dia segera menunjukkan isyarat bahawa makanan itu sangat sedap. Dia memuji keenakan ayam yang dipilihnya dan menyatakan bahawa nasi kerabu itu menjadi lebih lazat apabila dimakan dengan cara yang dilakukannya.
“Sedap, sedap do’oh! Saya suka sangat. Ayam ni sedap. Isteri saya cakap gaul macam ni lagi sedap,” kata @justyn.ali lagi.
Berdasarkan kapsyen yang ditulis, lelaki itu menyatakan bahawa dia akan merindui makanan tersebut setelah dia pulang ke Australia.
@justyn.ali Pertama kali saya makan nasi kerabu, suka! Saya akan rindu makanan macam ni bila saya balik ke Australia. #nasi #ayam #malaysia
Tindakan beliau yang menunjukkan minat mendalam terhadap masakan tempatan ini mendapat perhatian ramai dan disambut baik oleh rakyat Malaysia.