Barisan pemain beregu lelaki negara cukup gemar melakukan hantaran balas tinggi (lifting) yang membuatkan pemain lawan menyerang bertubi-tubi dalam usaha mendapatkan mata.
Malah, pemain beregu negara juga cukup terkenal dalam kalangan penyokong badminton dunia yang mengatakan Malaysia antara negara yang cukup kental ketika bertahan.
Baca Juga:
- Ini Perkara Yang Dituntut Herry Iman Daripada Pemain Beregu Negara
- Ini Sebab Herry Iman Pilih Malaysia Berbanding China
- Fajar Alfian Yakin Herry Iman Akan Bawa Beregu Lelaki Malaysia Ke Tahap Lebih Tinggi
Taktik ini sering kali memberi tekanan kepada pemain negara kerana mereka terpaksa bertahan dengan lebih keras, tetapi dalam masa yang sama, ia memberi peluang untuk melakukan serangan balas dengan cepat.
Namun, apabila taktik ini tidak berjalan seperti diharapkan ia boleh mendapatkan risiko hingga memberikan peluang kepada lawan mendapatkan mata menerusi smash-smash padu.
Sehubungan dengan itu, Herry Iman Pierngadi yang baharu sahaja membimbing sektor beregu lelaki negara mahu anak buahnya mengubah corak permainan mereka.
Herry melihat corak permainan tanpa terlalu banyak melakukan hantaran tinggi kepada lawan adalah lebih baik dan memberikan fokus kepada pukulan mendatar (drive) yang lebih selamat.
“Pola permainan saya ‘no lift’ jadi saya harus paksakan mereka,” ujar Herry menurut temubualnya bersama wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
“Selama lebih seminggu ini, ia cukup baik. Ada perubahan dan perkembangannya cukup baik.”
Dengan perubahan yang ingin disaksikan Herry, corak permainan beregu lelaki negara selepas ini akan lebih bertumpu kepada kepantasan dan serangan.
Seperti dilaporkan sebelum ini, pengendali berusia 62 tahun itu menuntut beberapa perkara seperti disiplin, kerja keras, motivasi dan perlu untuk turun berlatih dalam keadaan gembira bagi merintis kepada kejayaan yang ingin dicapai di peringkat antarabangsa.