Tempeyek (sesetengah orang memanggil rempeyek) merupakan antara hidangan kuih yang cukup popular terutamanya ketika hari raya aidilfitri mahupun aidiladha.

Dengan tekstur yang rangup serta rasa rempah ratus secukup rasa, tempeyek juga sesuai untuk dijadikan kudapan ketika bersantai atau menonton televisyen.

Saban hari dapat dilihat jualan kuih ini di kedai makan dan kedai runcit, tetapi adakah tempeyek yang berada di pasaran ‘kena’ dengan selera kita?

Mungkin ada yang tidak memenuhi citarasa anda seperti kurang rangup, terlalu masin atau kurang rasa rempah ratusnya.

Ini Resepi Tempeyek Yang Anda Boleh Cuba Di Rumah

Sehubungan dengan itu bersempena dengan hari raya aidilfitri yang dijangka pada 20 Mac nanti, The Vocket ingin kongsikan resepi ringkas turun temurun untuk anda mencuba sendiri menghasilkan kuih ini.

Bahan-Bahan Tempeyek

Bahan-bahan yang diperlukan ialah dua cawan tepung beras, sebiji telur, dua sudu rempah ratus (terdiri daripada jintan manis, jintan putih, biji rempah dan biji ketumbar), kiub ikan bilis separuh, tiga cawan santan, sesudu air kapur, ikan bilis dan kacang tanah.

Untuk tujuan kebersihan, ikan bilis dan kacang tanah perlu dibasuh dan dikeringkan sebaik-baiknya.

Selepas lengkap segala bahan yang diperlukan, bancuh kesemua bahan (kecuali ikan bilis dan kacang tanah)  di dalam satu bekas. Kemudian, bancuhan tersebut perlu dikacau rata sehingga kesemua bahan tersebut menjadi sebati.

Ini Resepi Tempeyek Yang Anda Boleh Cuba Di Rumah

Tiga sudu udang kering dan empat ulas bawang putih yang dikisar sehingga hancur juga diperlukan untuk diadunkan sekali bersama bancuhan tersebut.

Apabila minyak sudah cukup panas, gunakan senduk untuk mengambil sedikit bancuhan tersebut dan masukkan sekali ikan bilis serta kacang tanah [kuantiti] mengikut selera masing-masing ke dalam alat acuan kuih tempeyek ini.

Seterusnya, masukkan ke dalam kualiti dan ulangi langkah sama sehingga dipenuhi dengan kuih tersebut.

Harus diingat, bancuhan yang terlalu banyak dalam acuan tersebut akan menyebabkan lapisan kuih menjadi terlalu tebal.

Ini Resepi Tempeyek Yang Anda Boleh Cuba Di Rumah

Selain itu, api tidak boleh terlalu kecil kerana ia akan membuatkan sangat berminyak apabila diangkat.

Manakala tidak boleh juga terlalu besar kerana ia akan menyebabkannya mudah hangus tetapi isinya tidak masak dengan baik.

Nampak macam tak susah sangat kan? Selamat mencuba!