Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai keluhan beberapa rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang gara-gara buah tangan kegemaran mereka, bakso sejuk beku dari luar negara telah dirampas oleh pihak berkuasa.

Malah, ada yang mula membuat spekulasi kononnya mereka sengaja ‘dipau’ oleh pihak Kastam tanpa sebab yang munasabah.

Hakikatnya, tindakan tegas tersebut bukan sengaja dibuat untuk menyusahkan orang ramai.

Menerusi platform media sosial terkenal, Public Health Malaysia (PHM), telah tampil berkongsi sebab sebenar mengapa sebungkus bebola daging pun tidak boleh dibawa masuk ke dalam negara sesuka hati.

Ini Tugas Sebenar MAQIS

Ramai yang keliru dan menyangka semua urusan pemeriksaan bagasi hanya melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Bagi barangan berasaskan pertanian dan ternakan, pihak yang bertanggungjawab sebenarnya adalah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Apabila bakso anda dirampas, ia bukan bermakna anda sedang ‘dipau’, tetapi pihak berkuasa sedang menjalankan undang-undang kawalan import.

Bakso, tidak kira sekecil mana pun kuantitinya, dikategorikan sebagai produk daging. Produk daging mentah, sejuk, sejuk beku, atau yang telah diproses dari luar negara adalah barangan import terkawal yang wajib mempunyai permit sah serta pemeriksaan ketat di pintu masuk negara.

Bukan Sebab Bakso Itu Berbahaya, Tetapi Pihak Berkuasa Perlu Tahu Asal-Usul

Menurut Public Health Malaysia, peraturan ketat ini diwujudkan bukan kerana semua bakso dari luar negara itu beracun atau tidak sedap. Sebaliknya, ia adalah langkah keselamatan biosekuriti negara.

Pihak berkuasa perlu tahu lima perkara kritikal ini sebelum membenarkan sebarang produk daging melintasi sempadan:

* Daging daripada haiwan apa yang digunakan.

* Dari negara dan premis mana produk itu berasal.

* Sama ada haiwan tersebut bebas daripada sebarang penyakit berbahaya.

* Bagaimana proses pembuatan dan pembungkusan produk itu dilakukan.

* Sama ada rantaian sejuk (cold chain) produk tersebut kekal terjaga sepanjang perjalanan.

Ancaman Penyakit Ternakan Dan Risiko Runtuhnya Ekonomi Tempatan

Membawa masuk produk daging tanpa permit berisiko tinggi membawa penyakit haiwan merentas sempadan. Walaupun ada sesetengah penyakit haiwan ini langsung tidak menjangkiti manusia, impaknya kepada industri penternakan tempatan boleh menjadi sangat buruk.

Sisa makanan atau produk yang tercemar boleh merebak kepada ternakan di Malaysia jika tidak dikawal.

Sekiranya wabak penyakit haiwan meletus, ladang-ladang tempatan terpaksa ditutup, ternakan terpaksa dimusnahkan secara besar-besaran, dan bekalan makanan negara akan terganggu. Akhirnya, ia akan mencetuskan kerugian ekonomi yang luar biasa besar kepada negara.

Bahaya Rantaian Sejuk Terputus: Bakteria Membiak Senyap-Senyap

Satu lagi sudut pandang dari segi kesihatan yang dikongsikan oleh Public Health Malaysia adalah isu cold chain atau rantaian sejuk. Bakso sejuk beku memerlukan suhu negatif yang konsisten untuk menghalang pembiakan bakteria.

Bayangkan senario ini: anda membeli bakso dari kedai di luar negara, membawanya ke lapangan terbang, menyimpannya di dalam bagasi untuk penerbangan berjam-jam, mengharungi perjalanan pulang ke rumah, dan hanya memasukkannya ke dalam peti sejuk selepas tiba.

Perjalanan yang panjang tanpa suhu yang sesuai ini akan menyebabkan rantaian sejuk terputus. Apabila ini berlaku, bakteria berbahaya boleh membiak dengan cepat.

Apa yang menakutkan, rupa, warna, dan bau bakso tersebut mungkin kelihatan elok dan normal, tetapi ia sebenarnya sudah dicemari bakteria yang boleh mengundang keracunan makanan yang teruk.

Jangan Sorok, Sentiasa Isytihar Barang Anda

Kesimpulannya, sempadan negara diwujudkan bukan sekadar untuk memeriksa pasport manusia. Ia adalah benteng utama yang melindungi ekosistem haiwan, industri makanan tempatan, dan keselamatan bekalan makanan seluruh rakyat Malaysia.

Selepas ini, jika anda pulang dari luar negara dan membawa sebarang produk berasaskan daging, jangan sesekali menganggap kuantiti yang sedikit akan diberi kelonggaran.

Buat pilihan yang bijak dengan mengisytiharkan barangan tersebut kepada pegawai bertugas dan semak syarat kemasukan terlebih dahulu bagi mengelakkan bagasi anda ditahan. Lebih baik makan puas-puas di negara asal atau beli sahaja bakso yang dibawa masuk secara sah oleh pengimport tempatan!