Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mempunyai sasaran tersendiri bagi pasukan negara yang ketika ini beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Datuk Hamidin berharap Malaysia dapat mengutip mata dalam temasya Piala Asia 2023 setelah lama tidak beraksi dalam kejohanan itu.

Baca Juga:

“Setelah 42 tahun kita menunggu untuk masuk (Piala Asia), sekurang-kurangnya kita mendapat mata. Harapan kita tinggi dimana sekiranya pasukan dapat melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik, maka itu adalah bonus untuk kita.

“Pemain dan pegawai pasukan telah berjanji kepada saya untuk sama-sama kita melangkah ke pusingan 16 pasukan terakhir. Kalau boleh, kita jangan balik dengan tangan kosong. Itu yang penting,” kata Datuk Hamidin.

Selain muncul sebagai juara atau naib juara kumpulan, peluang paling realistik untuk pasukan negara mara ke pusingan seterusnya ialah dengan menjadi pasukan di tangga ketiga terbaik dalam kumpulan E.

Perlawanan pembukaan menentang Jordan pada 16 Januari ini merupakan peluang terbaik bagi skuad bimbingan Kim Pan-gon untuk meraih tiga mata.

Seterusnya, pasukan negara perlu mendapat keputusan seri ketika menentang Bahrain atau Korea Selatan pada aksi kedua dan ketiga peringkat kumpulan selain cuba untuk tidak dibolosi dengan jumlah yang banyak.

Setakat ini, hanya Endrick Dos Santos yang masih belum pasti sama ada boleh diturunkan atau tidak pada perlawanan menentang Jordan kerana mengalami kecederaan.

Pasukan negara sedang menunggu perkembangan Matthew Davies dimana beliau dilaporkan mengalami kecederaan ringan ketika aksi persahabatan menentang Syria.