Pemain tengah naturalisasi, Endrick Dos Santos kemungkinan terlepas aksi peringkat kumpulan saingan Piala Asia 2023 di Qatar apabila dilaporkan mengalami kecederaan di kaki.

Menurut laporan Bernama, khidmat Endrick sudah pasti tidak dapat digunakan untuk perlawanan pertama menentang Jordan pada 16 Januari ini kerana ia memerlukan masa untuk pulih.

Baca Juga:

Namun, setakat ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mengumumkan pengganti pemain tersebut kerana ketua jurulatih, Kim Pan Gon percaya khidmat Endrick diperlukan untuk aksi pusingan kalah mati jika layak.

Selain Endrick, dua lagi pemain yang masih dibelenggu kecederaan ialah Corbin Ong dan Matthew Davies.

Berdasarkan gambar sesi latihan yang dikongsi menerusi laman facebook FAM, Matthew Davies tidak kelihatan di padang Universiti Qatar manakala Corbin Ong sudah mula turun berlatih menyertai rakan sepasukan.

Davies dilaporkan mengalami kecederaan ringan ketika aksi persahabatan menentang Syria dan beliau dijangka tiada masalah untuk diturunkan pada perlawanan menentang Jordan.

Manakala Corbin Ong mungkin diturunkan pada perlawanan kedua menentang Bahrain pada 20 Januari bergantung pada tahap kecergasan pemain itu.

Pemain pertahanan Sabah, Daniel Ting bakal menjadi pilihan Kim Pan Gon untuk menggantikan tempat Corbin Ong. Daniel juga diturunkan dalam kesebelasan utama ketika aksi pemanas badan menentang Syria.

Selepas menentang Jordan dan Bahrain, skuad Harimau Malaya akan berdepan tugas getir menentang pasukan pilihan, Korea Selatan pada 25 Januari.