Kilang Dibuk Sdn Bhd iaitu kilang beras Bumiputera terbesar di Perlis yang sudah beroperasi sejak 57 tahun kini berada dalam keadaan nazak.
Memetik Harian Metro, mereka mengalami kesukaran untuk meneruskan operasi pemprosesan padi kerana terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengarah Urusannya, Marzhuki Othman berkata, kilang berkenaan yang menjadi tumpuan dan kemudahan kepada lebih 10,000 petani di Perlis dilihat tidak lagi mampu bertahan.
Angkara manipulasi beras tempatan
Difahamkan kilang sudah tidak mampu menampong kos operasi apabila berlakunya manipulasi beras tempatan menjadi beras import.
Akibat daripada itu, kini berlakunya tekanan lonjakan harga belian padi yang tinggi walaupun harga beras masih rendah.
“Dalam dua tahun kebelakangan ini sahaja, operasi kita, membabitkan tiga kilang kita, sudah mengalami kerugian lebih RM10 juta.
“Dua daripada tiga kilang itu sudah pun menutup operasi dengan kilang ketiga mungkin berdepan perkara sama.
“Kita sudah tidak mampu lagi bertahan dengan tekanan lonjakan harga belian padi daripada petani yang satu ketika pernah mencecah hampir RM2,000 satu tan metrik.
“Malah, tidak dinafikan, keadaan yang berlaku ini juga memungkinkan kilang kita terpaksa berdepan ancaman ‘bungkus’ sekiranya terus merekodkan kerugian,” katanya.
Dia juga merangkap Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia berkata, kilang berkenaan mampu memproses sehingga 30,000 tan metrik semusim dengan kekuatan 78 pekerja.
Hanya sembilan kilang yang masih bertahan
Lebih mengejutkan, daripada 127 kilang padi milik penuh Bumiputera yang aktif sejak 1998, kini hanya berbaki sembilan yang masih bertahan namun berada dalam keadaan ‘sakit’.
“Kilang ini hanya menghitung waktu sahaja untuk menutup operasi seandainya tiada langkah efektif diambil dalam menangani dasar yang sudah tidak relevan seperti kawalan harga beras putih tempatan berbanding beras putih import yang tidak dikawal harga siling.
“Pada masa sama, pihak berkuasa dalam industri padi juga digesa untuk tidak lagi mengeluarkan dan membenarkan pusat belian padi berlesen berada di dalam lingkungan 20 kilometer dengan kilang,” katanya.
Tambahnya lagi, hal ini disebabkan ada dalam kalangan pemegang lesen yang menjadi orang tengah dalam manipulasi pasaran beras ini.
“Mereka ditaja kilang besar dalam membolot padi walaupun berada di luar kawasan malah mereka juga menaikkan kos dalam pengeluaran beras.
“Lonjakan harga belian padi ini disebabkan berlakunya persaingan daripada pengilang besar bukan Bumiputera yang turut menguasai pasaran beras borong bagi mendapatkan bekalan padi.
“Dalam hal ini, pengilang ini sendiri mempunyai rangkaian pengedaran beras yang mana mereka mencampurkan beras tempatan yang dibeli pada harga kawalan bersama beras import sebelum ia kemudiannya dijual dengan label beras import pada harga yang tidak dikawal.
“Mereka ini akhirnya mengaut keuntungan berlipat ganda menerusi aktiviti manipulasi beras tempatan yang dijadikan beras import,” keluhnya lagi.
Marzhuki berkata, kegiatan pengilang terbabit secara tidak langsung ‘membunuh’ pengilang sepertinya.
Dia malah berkeras tidak mahu bersekongkol menipu pengguna dengan menjual beras tempatan sebagai beras import.
Bukan itu sahaja, kenaikan kos seperti harga padi, elektrik, diesel, ‘rubber roller’, ‘jumbo beg’, gaji serta alat ganti juga secara perlahan-lahan menghancurkan operasi mereka kerana tidak mampu lagi melunaskan hutang bank.