Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, menggesa agar kerajaan negeri diberikan kuasa menguruskan tanaman dan industri padi.
Apabila kerajaan negeri mendapat kuasa itu, ia dapat menangani dan memulihkan isu kekurangan bekalan beras tempatan, petik Free Malaysia Today.

Baca Juga:
- Kartel Beras Didakwa Monopoli 60% Pengeluaran Beras Sehingga Menjejaskan Bekalan Negara
- ‘Saya Sendiri Turun Mengejut’ – KPKM Sedia Audit 39,000 Pemegang Lesen Borong Beras
Tambahnya lagi, isu beras padi tidak akan selesai selagi tidak ada kesungguhan daripada agensi berkaitan dalam membanteras kegiatan didalangi kartel.
Selain itu beliau mendakwa berlakunya kegiatan menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import. Sekaligus menyebabkan bekalan beras tempatan tiada di pasaran sehingga kini.
“Mereka kata Menteri Besar buat apa beras hilang kerana padi tanam di Kedah? Cuba mereka bagi kuasa beras pada saya kerana kerajaan negeri tidak ada kuasa pada beras. Apabila ditubuhkan Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) pada 70-an, agensi ini mengawal kawasan tanaman padi.
“Ada macam-macam agensi kawal industri pula, lesen beli padi, lesen simpan padi, lesen kilang padi kemudian ada lesen simpan dan jual beras, semua ada lesen di bawah kementerian.
“Isu benih tak selesai, saya biasa kata ada kartel kawal industri padi, mereka marah kata saya tak betul. Selagi tak dipecahkan kartel, tak ada kesungguhan keberanian untuk menghadapi kartel ini, isu beras padi tak akan selesai,” katanya pada satu majlis di Alor Setar baru-baru ini.
Beliau menjelaskan petani terus hidup dalam kesempitan apabila ‘diikat’ kilang padi melalui sistem kunca sejak dahulu lagi.
Sistem kunca dalah satu sistem peminjaman wang yang bayarannya dibuat dengan hasil tuaian padi.
“Ada kartel kawal benih, ada kartel kawal harga belian padi dan jualan beras, menipu petani tetapi mereka marah kata saya tak betul. Sekarang jadi apa? Sekarang mereka duduk bersama kartel.
“Mereka tahu tak puak ini tukar bungkusan beras tempatan kepada beras import? Takkan mereka tak tahu kerana kita pun tahu. Orang duduk kampung pun tahu.
“Pada biji beras tak ada ditulis beras import atau tempatan, tulisan ada di kampit. Dia tukar bungkusan dari harga RM23 boleh jual RM43. Itu saja mereka buat, pergi cari periksa,” jelasnya lagi.