Legenda Perancis, Frank Leboeuf menasihati bintang The Blues, Cole Palmer supaya menikmati kerjaya di kelab tersebut dan tidak tertarik dengan tawaran lumayan bakal diterima.

Selepas berhijrah ke Chelsea pada 1 September 2023, Palmer tidak menunggu lama untuk membuktikan kemampuannya terutamanya dalam merobek gawang lawan.

Baca Juga:

Musim pertamanya bersama Chelsea, beliau berjaya meledakkan 22 gol, hanya lima jaringan dibezakan dengan penjaring terbanyak English Premier League (EPL) 2023/24, Erling Haaland.

Keadaan itu menyebabkan Real Madrid berminat untuk mendapatkan khidmat Palmer pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Leboeuf Mahu Palmer Kekal Di Chelsea

Melihatkan kepada perkembangan Palmer bersama Chelsea, Leboeuf berpendapat pemain tengah menyerang itu perlu memikirkan banyak kali sebelum menerima tawaran lumayan kelab lain.

“Jika anda ialah Cole Palmer, adakah anda benar-benar mahu bermain untuk Real Madrid? Di posisi mana anda akan bermain?”

“Real Madrid sudah ada Jude Bellingham dan ramai lagi pemain lain. Anda perlu membuat pilihan yang betul. Anda perlu berfikir dua kali,” ujar Leboeuf menurut sumber laporan Goal.

“Baiklah, anda mahu berada di kelab terbaik di dunia, mungkin Real Madrid ialah kelab terbaik di dunia tetapi anda juga mahu bermain dan bukan sekadar duduk di bangku simpanan. Itu langsung tidak masuk akal.”

“Kami pernah bercakap tentang [Florian] Wirtz ke Bayern Munich musim lalu tetapi di sana sudah ada [Jamal] Musiala, anda tak boleh mainkan Musiala dan Wirtz bersama melainkan anda letakkan Wirtz di sebelah kiri, itu mungkin.”

“Tetapi keputusan yang betul untuk Wirtz ialah pergi ke Liverpool. Tiada siapa menjangka ia akan menjadi seperti sekarang.”

“Cole Palmer baru mempunyai kerjaya selama dua tahun. Manchester City tidak mahu mengekalkannya, dia satu kejutan besar, pemain yang hebat tetapi perlahankan langkah.”

“Anda bermain untuk Chelsea dan anda boleh mendapat sesuatu daripadanya. Anda tak pernah tahu, mungkin anda berada di kelab yang tepat. Mungkin sesuatu akan berlaku kepada Chelsea.”

“Siapa sangka [Frank] Lampard akan memiliki kerjaya seperti yang dia capai selepas menyertai Chelsea? Mungkin ada jangkaan tetapi tidaklah sampai sebegitu luar biasa.”

“Saya masih ingat ketika saya berada di Chelsea pada tahun 1999 apabila Real Madrid menghubungi saya dan saya berkata: ‘Saya kekal di sini, saya cintakan kelab ini, mereka hebat, bola sepaknya hebat, penyokongnya hebat, jadi kenapa saya perlu pergi ke sana?”

“Saya tahu apa yang saya ada dan apa yang akan saya peroleh. Sekali lagi, anda perlu berfikir dua kali.

“Dari segi populariti, mungkin lebih baik pergi ke Real Madrid apabila anda berada di Chelsea tetapi saya sendiri tidak pasti tentang itu sekarang.”

“Apa yang kita lihat di Real Madrid, mereka bukanlah yang terbaik antara yang terbaik ketika ini. Mungkin mereka akan bangkit semula kerana ia kelab besar tetapi buat masa ini tidak, anda bercakap tentang sejarah, bukan realiti semasa,” tambah beliau lagi.

Sumber