Perebutan untuk mencari juara keseluruhan STL 2025 terungkai selepas Perak Bison dinobatkan selaku juara susulan kejayaan mara ke pentas final saingan di GP Pulau Pinang semalam.
Walaupun tewas di tangan Melaka Titans pada aksi final, ia langsung tidak menggugat kedudukan Perak Bison untuk sekali lagi menjulang trofi STL.
Baca Juga:
- Perak Bison Muncul Juara Keseluruhan STL 2025

- STL 2025: Perak Bison Juara Di Laman Sendiri Atasi Kelantan Warriors

- VIDEO: Aksi ‘Luar Kebiasaan’ Noraizat Nordin Sebagai Tekong Selamatkan Perak Bison

Melihatkan kepada kejayaan skuad kendalian Dazfril Anuar itu, ada peminat yang tidak begitu arif dengan format GP ini mempersoalkan status Perak Bison selaku juara dan sebaliknya mengatakan Melaka Titans lebih layak.

Persoalan itu ditimbulkan segelintir peminat kerana memperlihatkan kemampuan Melaka Titans yang menggungguli saingan di GP Terengganu, GP Kuala Lumpur dan GP Pulau Pinang.
Kejuaraan GP Semata-Mata Tak Jamin Segalanya
Sistem pengiraan mata dalam STL bukan hanya tertumpu kepada jumlah kejuaraan GP yang dimenangi oleh satu-satu pasukan semata-mata.
Sebaliknya, ia adalah berkisar dengan pungutan mata keseluruhan dimana komposisi pemarkahan dipecahkan kepada:
1) Juara – 32 mata
2) Naib Juara – 28 Mata
3) Ketiga – 24 mata
4) Keempat – 21 mata
5) Kelima – 18 mata
6) Keenam – 16 mata
7) Ketujuh – 14 mata
8) Kelapan – 12 mata
9) Pasukan menang 1 perlawanan peringkat kumpulan tetapi berada di kedudukan ketiga akan meraih 8 mata.
Sehubungan dengan keadaan tersebut, konsistensi dalam setiap siri perlawanan menjadi faktor penentu utama siapa yang akan mengungguli carta keseluruhan.
Kenapa Perak Bison dan Bukannya Melaka Titans?
Di sinilah Perak Bison sedikit menonjol dan mengatasi Melaka Titans serta Negeri Sembilan Antlers dalam pemburuan mata keseluruhan.
Walaupun hanya sekali muncul selaku juara GP, mereka tidak pernah tersingkir awal atau lebih tepat lagi pulang tanpa sebarang mata.
Keadaan itu dialami oleh Melaka Titans apabila skuad yang dibarisi Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Zaim Razali itu pulang tanpa sebarang mata ketika di GP Negeri Sembilan.
Lebih menyulitkan lagi keadaan buat Melaka Titans ketika saingan GP Johor dan Perak, mereka gagal pula untuk mara ke separuh akhir.
Keadaan itu turut dirasai juara dua GP, Negeri Sembilan Antlers selepas mereka pulang dengan tangan kosong ketika di GP Perak manakala sekadar meraih lapan mata sewaktu GP Terengganu.
Ia merupakan faktor utama yang menyebabkan dua pasukan gergasi itu gagal untuk menamatkan kedudukan keseluruhan sebagai juara.
Sebaliknya, Perak Bison konsisten pada setiap GP untuk mengumpul mata dimana pada GP Terengganu meraih 18 mata, GP Negeri Sembilan dan GP Kuala Lumpur dengan 21 mata, GP Johor membawa pulang 16 mata, 32 mata selaku juara di laman sendiri serta 28 mata pada GP Pulau Pinang.

Berikutan dengan situasi itu, hasilnya kutipan mata mereka kekal stabil dari awal musim hingga penghujung.
Perak Bison mengumpul 136 mata manakala Melaka Titans pula dengan 128 mata dan Negeri Sembilan Antlers 121 mata.
Malah, hanya Perak Bison dan pasukan tangga kedua keseluruhan, Kuala Lumpur Thunder sahaja yang mencatatkan mata di setiap GP pada musim ini.
Secara ringkasnya, format STL 2025 memberi ganjaran kepada pasukan yang konsisten meraih mata.
Melaka Titans memang padu dengan barisan pemain berpengalaman tetapi bezanya Perak Bison dinobatkan sebagai juara keseluruhan kerana lebih konsisten dalam mengutip mata.
Memang pahit untuk ditelan hakikat itu tetapi Melaka Titans terpaksa akur menamatkan musim di tangga ketiga meskipun memenangi lebih banyak gelaran GP.