Sebagai antara negara yang menghasilkan ramai pemain badminton berkelas dunia, Malaysia juga tidak terkecuali daripada mempunyai jurulatih berkualiti di pentas antarabangsa.

Dalam barisan kejurulatihan skuad badminton Malaysia juga dapat dilihat individu seperti Tan Bin Shen (ketua jurulatih beregu lelaki) dan Rosman Razak (ketua jurulatih beregu wanita) cukup berkarisma dan dihormati pemain-pemain negara.

Baca Juga:

Hakikat yang membuktikan Malaysia tidak pernah ketandusan dalam melahirkan barisan jurulatih berwibawa dalam menggalas tanggungjawab.

Sudah pasti, tidak akan semuanya akan dapat berkhidmat bersama pasukan Malaysia, dapat disaksikan ramai juga yang berkelana ke luar negara dalam mencurahkan pengalaman mereka.

Mari kita kenali barisan jurulatih yang dimaksudkan!

1) Wong Choong Hann – Hong Kong

Selepas meletakkan jawatan sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan di Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Choong Hann ‘mengembara’ ke Hong Kong bergelar jurulatih perseorangan lelaki pada 4 Julai 2023.

Pada 1 Oktober 2024, beliau dinaikkan pangkat selaku ketua jurulatih bagi menggantikan Tim He yang bersara.

2) Tan Kim Her – Jepun

Kim Her mula menggalas tanggungjawab selaku jurulatih beregu skuad senior Jepun bermula April 2019.

Antara ‘buah tangan’ hebat beliau buat sektor beregu lelaki Jepun ialah dalam membimbing Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda serta yang terbaharu iaitu Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Sebelum bersama Jepun, beliau yang kini berusia 53 tahun turut pernah membimbing England, Korea Selatan dan India.

Laporan media tempatan tempoh hari mengatakan Tan Kim Her dikaitkan dengan penghijrahan semula ke India, tetapi masih belum ada pengumuman rasmi lagi.

3) Jeremy Gan – Jepun

Selepas meletakkan jawatan sebagai penolong jurulatih skuad beregu negara, Jeremy Gan melebarkan sayap ke Jepun untuk membimbing pasangan beregu campuran negara tersebut pada Januari 2018.

Di Jepun, beliau bertindak selaku jurulatih beregu campuran yang pastinya cukup sinonim dengan gandingan Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

4) Lee Wan Wah – Jepun B

Beliau yang mencipta nama selaku pemain ketika bergandingan bersama Choong Tan Fook kini merupakan jurulatih sektor beregu bagi skuad B Jepun.

Mula bersama Persatuan Badminton Jepun (Nippon Badminton Association) pada 2019, beliau melatih skuad remaja Jepun.

Setahun kemudian, beliau dinaikkan pangkat sebagai jurulatih beregu campuran pasukan B Jepun dan pada 2023, Wan Wah membimbing sektor beregu lelaki pasukan B.

Dengan spekulasi Tan Kim Her bakal ke India, Lee Wan Wah dikatakanya bakal menjadi calon utama untuk menggantikan rakan senegaranya itu.

5) Iskandar Zulkarnain Zainuddin – Ireland

Bekas pemain skuad badminton negara itu memulakan tugasannya selaku jurulatih perseorangan badminton Ireland pada Mac 2022.

Bermula sebagai rakan ‘sparring’ kepada pemain perseorangan nombor satu Ireland, Nhat Nguyen, Iskandar kemudiannya bersara pada usia 31 tahun dan ‘terjun’ ke bidang kejurulatihan di sana.

6) Loh Wei Sheng  – Singapura

Wei Sheng dilantik sebagai penolong jurulatih perseorangan Singapura pada 6 September 2022 bagi membantu ketua jurulatih, Kelvin Ho Ying Chong.

Beliau sebelum itu berperanan selaku jurulatih perseorangan wanita skuad badminton Malaysia hanya pada usia 26 tahun tetapi memilih untuk meninggalkan BAM selepas empat tahun berkhidmat.

7) Wong Pei Tty – Skuad Remaja Singapura

Bekas pemain beregu wanita negara itu kini memegang tanggungjawab besar selaku Ketua Jurulatih skuad remaja di bawah kelolaan Persatuan Badminton Singapura yang digelar Junior Performance Programme (JPP).

8) Salim Samion – Skuad Remaja Thailand

Walaupun reputasinya tidak gah seperti kebanyakan nama-nama yang dinyatakan di atas, Salim nyata cukup kaya dengan pengalaman di luar negara.

Salim kini bertanggungjawab dalam mencungkil bakat muda dalam skuad kebangsaan Thailand.

Ini Senarai Jurulatih Badminton Malaysia Yang Sedang Berbakti Di Luar Negara
Salim ketika bersama skuad remaja Denmark

Beliau mula berkelana ke luar negara sejak tahun 2000 dan antara negara pernah mendapat sentuhannya ialah skuad remaja Finland (2000 hingga 2004), skuad remaja Denmark (2005 hingga 2010).

Selain itu, beliau turut pernah membimbing skuad badminton Norway dan Ukraine.

9) James Chua – Republik Czech

James Chua yang sebelum ini pernah bersama barisan kejurulatihan perseorangan lelaki (2023) dan wanita (2022) Malaysia memilih untuk meletakkan jawatan pada 21 September 2024.

Ia berikutan tawaran yang diterimanya untuk bergelar ketua jurulatih skuad badminton Republik Czech bermula 1 Oktober lalu.

10) Vountus Indra Mawan Saniru – Australia

Beliau dilantik sebagai penolong jurulatih skuad badminton Australia pada Februari 2023 dan dalam masa sama bergelar ketua jurulatih pasukan badminton Victoria.

Ini Senarai Jurulatih Badminton Malaysia Yang Sedang Berbakti Di Luar Negara
Kredit Foto: Badminton Australia

Bersara sebagai pemain pada usia 28 tahun, Vountus Indra Mawan kemudiannya terus dilantik sebagai jurulatih beregu lelaki Malaysia bagi menggantikan Jeremy Gan pada Oktober 2017.

Selain berpengalaman bersama skuad badminton Malaysia, Vountus turut pernah membimbing kelab di Belanda pada peringkat permulaan terjun ke bidang kejurulatihan.

Jurulatih di peringkat kelab

Bekas jurulatih beregu wanita negara, Chin Eei Hui kini membimbing sebuah kelab yang berpangkalan di Auckland, New Zealand iaitu North Harbour Badminton Club.

Beliau tanpa berselindung amat gembira di sana dan tidak merancang untuk pulang ke tanah air dalam tempoh masa terdekat.

Seorang lagi bekas jurulatih negara yang berkelana ke luar negara ialah Hafiz Hashim dimana beliau pada ketika ini membimbing Suchitra Badminton Academy di Hyderabad, India.

Manakala status Choong Tan Fook bersama skuad kebangsaan Hong Kong turut menjadi tanda tanya kerana selepas kedatangan Flandi Limpele, beliau sudah tidak kelihatan dalam mana-mana pertandingan.

Beliau mula bersama skuad kebangsaan Hong Kong pada 2010 dan empat tahun kemudian dilantik sebagai ketua jurulatih. Namun setakat ini masih belum ada apa-apa pengumuman mengenai keberadaannya dalam skuad tersebut.

Mungkin ada lagi jurulatih dari Malaysia yang berada di luar negara tetapi di luar pengetahuan penulis, ayuh kongsikan di ruangan komen!