Legenda badminton negara, Lee Wan Wah kini memikul tanggungjawab lebih besar bersama skuad kebangsaan Jepun.
Hal ini kerana pemain yang pernah mengecapi nikmat selaku pasangan beregu nombor satu dunia ketika berpasangan dengan Choong Tan Fok itu telah dilantik sebagai ketua jurulatih sektor beregu lelaki negara tersebut.

Baca Juga:
- Dakwaan Penipuan Wang Libatkan Jurulatih Badminton Dari Malaysia, Mangsa Tampil Dedah Bukti
- Ini Ranking Dunia Terkini Pemain Badminton Malaysia (Minggu Kelima 28 Januari 2025)
- Ini 4 Jurulatih Badminton Tempatan Yang Tolak Tawaran BAM Untuk Gantikan Tan Bin Shen
Jepun nyata tidak asing buat pengendali kelahiran Ipoh, Perak itu apabila mula bersama Persatuan Badminton Jepun (Nippon Badminton Association – NBA) pada 2019 dimana beliau ditugaskan sebagai jurulatih skuad remaja.
Setahun kemudian, beliau dinaikkan pangkat sebagai jurulatih beregu campuran pasukan B Jepun dan pada 2023, Wan Wah membimbing beregu lelaki pasukan B. November 2024 pula menyaksikan beliau dinaikkan pangkat ke skuad senior.
Tugasan sukar itu diberikan kepada Wan Wah selepas rakan senegara, Tan Kim Her memilih untuk kembali ke skuad kebangsaan India.
Seorang lagi jurulatih kelahiran Malaysia di Jepun iaitu Jeremy Gan turut mengubah haluan dengan berkelana ke Hong Kong.
Banyak kerja bagaimanapun perlu dilakukan Lee Wan Wah selepas Jepun langsung tidak mempunyai pasangan di kelompok ranking 10 teratas.
Bekas juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi berada di kedudukan ke-11 dalam ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) manakala Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura pula menghuni tangga ke-19.
Menurut sumber laporan The Star, Wan Wah mengakui hakikat bahawa tugas yang bakal dihadapinya itu tidak mudah.
“Tidak banyak pasangan [Jepun] yang berada di [ranking] atas sekarang jadi saya rasa ia satu cabaran yang baik untuk saya.”
“Jepun memang mempunyai pemain yang bagus tetapi sistem (NBA) hanya membenarkan mereka yang berada di atas untuk menyertai kejohanan yang lebih besar.”
“Kami juga menghadapi kekangan bajet, sebab itu ia akan mengambil lebih banyak masa bagi pasangan muda untuk bertambah baik.”
“Matlamat saya adalah untuk meningkatkan taraf bukan sahaja pasangan teratas tetapi bahagian beregu lelaki secara keseluruhannya,” tambah beliau lagi.