Malaysia cemerlang menempah tempat ke separuh akhir Piala Thomas 2024 selepas berjaya menundukkan Jepun 3-1 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Chengdu, China sebentar tadi.

Kejayaan manis itu menamatkan penantian kem negara yang kali terakhir mara ke peringkat separuh akhir pada tahun 2016.

Lee Zii Jia terlebih dahulu menceriakan kem negara selepas beliau tidak berdepan masalah untuk menewaskan pemain ranking ke-11 dunia, Kenta Nishimoto menerusi permainan ‘straight set’.

Set pertama menyaksikan kedua-dua pemain saling kejar-mengejar mata dan terikat pada kedudukan 11-11. Namun, Zii Jia selepas itu tampil dengan cukup garang untuk menang 21-13.

Segalanya bagai tidak menjadi buat Nishimoto pada set kedua dimana beliau melakukan banyak kesilapan-kesilapan mudah yang jelas mengganggu rentak beliau sepanjang perlawanan.

Kesempatan itu diambil sepenuhnya oleh Zii Jia untuk mendominasi permainan sekali gus mengesahkan kemenangan pertama buat skuad negara dengan mata 21-3.

Ia juga merupakan kemenangan kelapan buat Lee Zii Jia ke atas Kenta Nishimoto selepas mengharungi 11 perlawanan sesama sendiri.

Jepun mengikat kedudukan 1-1 menerusi beregu pertama selepas Takuro Hoki-Yugo Kobayashi berhempas-pulas untuk menundukkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik 18-21, 21-14, 21-19.

Pasangan ranking keenam dunia itu sentiasa menjadi masalah buat Aaron dan Wooi Yik yang sudah tewas tujuh perlawanan berturut-turut.

Leong Jun Hao mempamerkan corak permainan mantap bagi menundukkan pemain yang berada di ranking lebih baik, Koki Watanabe untuk kembali meletakkan Malaysia dihadapan.

Pemain perseorangan kedua itu dilihat cukup tenang dalam mengajak Watanabe bermain di jaring dan sering kali memerangkap lawan tersebut.

Aksi kemas pemain berusia 24 tahun itu membolehkan beliau melangkah keluar gelanggang dengan penuh bergaya hasil kemenangan 21-13, 21-10.

Gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani memastikan slot separuh akhir menjadi milik Malaysia selepas mereka menundukkan Akira Koga-Taichi Saito dalam aksi yang berlanjutan ke set penentuan 18-21, 21-15, 21-12.

Menanti Malaysia esok ialah pemenang antara dua bekas juara iaitu China dan India. China sedang mendahului 2-1 dimana aksi beregu kedua sedang berlangsung.