Sebanyak enam kelab dari saingan Liga Malaysia tersenarai antara pasukan yang menerima hukuman larangan pendaftaran pemain baharu dan sekatan perpindahan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut data rasmi di laman sesawang FIFA, antara kelab yang terlibat ialah Kedah Darul Aman (KDA FC), Kuala Lumpur City (KL City), TRW Kelantan, Melaka United, Perlis dan Sarawak United.

Baca Juga:

Tidak mengejutkan mengenai pasukan yang berada dalam senarai tersebut memandangkan mereka merupakan pasukan yang sentiasa berdepan dengan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai kelab.

Menurut data yang dikeluarkan, larangan pendaftaran pemain baharu yang dikenakan ke atas Kedah bermula pada tarikh 4 Mac 2024 manakala KL City pada 1 Februari 2024.

Ini bermakna pemain baharu yang ditandatangani selepas tarikh tersebut tidak boleh beraksi di atas padang dalam setiap perlawanan liga domestik dan peringkat antarabangsa kecuali dibenarkan badan bola sepak dunia itu.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, terdapat syarat yang perlu dipenuhi oleh enam kelab terbabit sekiranya mahu hukuman yang dikenakan ke atas mereka ditarik semula oleh FIFA.

Syaratnya mudah, kelab perlu melunaskan segala hutang yang ada ketika ini dan pihak yang membuat aduan membuat pengesahan mengenai bayaran yang diterima. Sekiranya perkara ini dilakukan, maka FIFA akan menarik balik hukuman yang dikenakan dan kelab boleh mendaftarkan pemain.

Akan tetapi, meskipun belum melunaskan tunggakan gaji yang dihadapi, ada beberapa kelab dalam senarai di atas sudah menandatangani pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Seperti contoh, Kedah menandatangani pemain baharu seperti Syafiq Ahmad, Faiz Nasir Sony Norde, Habib Haroon, Sukhrob Nurullaev dan Rizal Ghazali.

KL City pula mendapatkan khidmat pemain tengah skuad kebangsaan, Brendan Gan dan juga bekas penjaga gol skuad kebangsaan, Hafizul Hakim.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status pendaftaran pemain baharu bagi dua pasukan tersebut dalam masa terdekat.