Hanya kerana mencuri barang keperluan di sebuah pasar raya dengan jumlah keseluruhannya RM100.18, seorang instafamous wanita terpaksa menanggung padah didenda RM400.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap pempengaruh Rumaisyah Yahya, 31 yang mengaku bersalah mencuri.

Baca Juga:

Antara barangan yang dicuri adalah pewangi bilik, ubat gigi, sabun mandi, air kotak, sayur brokoli dan penyangkut baju di sebuah pasar raya di pusat beli-belah terkemuka di Jalan Ampang di sini, pada 4.30 petang, semalam.

Berdasarkan laporan Harian Metro, pertuduhan itu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda bagi kesalahan kedua, tertuduh boleh dihukum penjara serta dikenakan denda atau sebat.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu dipenjara bermula tarikh tangkap dan penjara tiga hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Menurut fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai pengajar yoga telah mengambil beberapa barang lalu memasukkannya ke dalam beg yang dibawa sebelum ditahan pengawal keselamatan.

Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee memohon beri hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara dan denda minimum atas alasan anak peguamnya itu tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara ibunya yang berusia 65 tahun.

Sumber