Sebuah syarikat insurans tidak boleh mengelak daripada menanggung liabiliti terhadap mangsa kemalangan jalan raya yang tidak bersalah hanya kerana pemegang polisi berdaftar telah meninggal dunia sebelum polisi insurans kenderaan bermotor tersebut diperbaharui, demikian diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Dalam keputusan sebulat suara yang disampaikan oleh Hakim Datuk Leonard David Shim, bersama-sama Hakim Datuk Zaini Mazlan dan Hakim Datuk Aliza Sulaiman dalam panel tersebut, mahkamah menolak rayuan Liberty Insurance Bhd terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan mengisytiharkan polisi insurans pihak ketiga wajib miliknya sebagai tidak sah, petik Free Malaysia Today.

Kes tersebut berpunca daripada satu kemalangan pada 22 Februari 2023 yang melibatkan sebuah lori yang diinsuranskan atas nama mendiang Koay Kuan Liong, yang telah meninggal dunia pada Julai 2018.

Lori berkenaan yang dipandu oleh anak lelakinya, Koay Ghee Seong, telah berlanggar dengan sebuah motosikal yang ditunggang oleh Munir A Hasan, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

Liberty Insurance sebelum ini memohon untuk membatalkan polisi berkenaan atas alasan kegagalan mendedahkan kematian pemegang polisi, pelanggaran prinsip penuh percaya mutlak (utmost good faith), ketiadaan kapasiti berkontrak serta ketiadaan kepentingan boleh insurans.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa isu-isu berkaitan kontrak tersebut tidak boleh menafikan hak statutori pihak ketiga yang tidak bersalah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Fakta semata-mata bahawa pemilik berdaftar telah meninggal dunia dan polisi diteruskan atas namanya tidak, tanpa perkara lain, menjadikan insurans pihak ketiga wajib itu tidak boleh dikuatkuasakan terhadap pihak ketiga yang tidak bersalah,” kata Hakim Leonard David Shim dalam alasan penghakimannya bertarikh 29 Oktober.

Mahkamah turut merujuk kepada Seksyen 101(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan bahawa sesuatu polisi kekal berkuat kuasa dan tersedia untuk manfaat pihak ketiga walaupun berlaku kematian ke atas orang yang diinsuranskan.

Menurut Hakim Leonard, hak statutori pihak ketiga untuk menuntut pampasan tidak boleh diketepikan oleh keperluan-keperluan kontrak.

Selain itu, mahkamah mendapati pihak Liberty Insurance gagal membuat siasatan sewajarnya semasa memperbaharui polisi tersebut. Borang cadangan didapati tidak ditandatangani dan tidak lengkap, namun syarikat insurans itu tetap menerima bayaran premium dan mengeluarkan polisi berkenaan.

Panel hakim bersetuju bahawa syarikat insurans itu dianggap telah mengetepikan pematuhan terhadap kewajipan pendedahan di bawah Jadual 9 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

“Hak statutori pihak ketiga untuk mendapatkan semula pampasan daripada penanggung insurans di bawah Seksyen 96(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 tidak boleh ditewaskan oleh obligasi atau keperluan kontrak seperti penuh percaya mutlak, kegagalan mendedahkan maklumat, ketiadaan kapasiti untuk berkontrak dan kepentingan boleh insurans,” tegas beliau.

Sehubungan itu, mahkamah menolak rayuan tersebut dan memerintahkan Liberty Insurance membayar kos berjumlah RM40,000 kepada Munir.

Dalam prosiding itu, peguam Razlan Hadri Zulkifli dan Ahmad Naqiuddin Ramli mewakili Liberty Insurance, manakala S. Parameswaran dan G. Thinagara Pothuval bertindak bagi pihak Ghee Seong, selaku pentadbir harta pusaka bapanya, serta Munir.