Intan Serah kini berdepan tindakan daripada FAM selepas muat naik tweet / X yang kontroversi baru baru ini ketika aksi Malaysia vs Korea Selatan.

Pemain bola sepak kebangsaan wanita, Intan Serah sebelum ini memuat naik status terbuka mengutuk pemilihan pemain oleh Kim Pan Gon dengan melabel ia pertukaran yang bodoh.

Baca Juga:

Tindakan Intan Serah itu kurang disenangi ramai pihak dan dianggap tidak profesional memandangkan dia adalah pemain kebangsaan yang turut berada dalam ekosistem bola sepak yang sama dengan skuad lelaki.

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman sudah mengambil perhatian tentang perkara itu dan menganggap Intan Serah membuat komen yang tak sopan oleh seorang individu yang merupakan pemain kebangsaan.

Oleh itu, FAM akan mengambil tindakan ke atas Intan Serah selepas ini.

Dipetik dari Harian Metro, Noor Azman berkata: “Kita akan menilai kenyataan dan kita akan panggil dia (Intan Serah). Sebagai pemain kebangsaan, dia tidak sepatutnya keluarkan kenyataan begitu, kita akan nilai kenyataan yang dia maksudkan.

“Pada masa sama, sentiasa ingatkan (jangan keluarkan kenyataan negatif) kepada pemain semasa mereka berada dalam kem kebangsaan, ini tidak sepatutnya berlaku.”

Seterusnya Noor Azman tidak pasti tindakan yang akan mereka ambil. Dan mereka mahu menilai secara mendalam terlebih dahulu perkara itu.

Sebelum ini Intan Serah telah menggunakan platform X menyatakan ketidakpuasan hatinya dengan Kim Pan Gon yang memilih untuk memasukkan Romel Morales dan bukannya Safawi Rasid.

“Satu lagi pertukaran bodoh dari Kim Pan Gon. Masukkanlah Pawi!!”

Menariknya, Romel Morales menikmati salah satu momen terbaik dalam kariernya dan memberikan salah satu detik terbaik kepada peminat bola sepak Malaysia.

Ini termasuk buat Intan Serah sendiri yang berada di dalam stadium.

Ini kerapa pada minit ke-90+15, pemain itu mencetak gol ketiga untuk Malaysia, yang merupakan gol penyamaan untuk mengikat Korea Selatan 3-3.

Intan Serah menerima banyak komen perlian daripada peminat. Dan pemain futsal serta bola sepak kebangsaan itu segera berkata:

“Kim Pan Gon pandai guys. Sebab tu bukan saya yang jadi jurulatih kebangsaan. Hahah.”

Terbaru, Intan Serah mengakui kekhilafannya kerana terlalu emosi.

“Ianya emosi yang sangat membara yang telah menguasai diri saya, dan menyebabkan tweet tersebut ketika perlawanan berlangsung. Maaf di atas apa yang saya telah lontarkan.

“Namun saya akui salah saya, dan saya hormat kepada semua orang terutama sekali para pemain dan coach KPG. Selamat berjaya dan yang terbaik untuk perlawanan seterusnya,” tegas pemain kebangsaan merangkap pempengaruh media sosial itu.