Skuad Iraq akhirnya tiba di AS semalam selepas berjaya mendapatkan visa khas bersyarat yang ketat dan melalui 12 jam perjalanan.

Sebelum ini Iraq meminta agar mereka dipindahkan ke Mexico, namun FIFA dan penganjur menghalangnya. FIFA dan AS malah memberikan jaminan bahawa pemain pemain dan pegawai Iraq boleh masuk ke AS.

Pasukan Iraq tiba di AS. Namun seperti dijangka mereka melalui prosedur saringan keselamatan yang sangat ketat.

Penyerang utama Iraq, yang juga kapten, Aymen Hussein, dilaporkan ditahan dan disoal siasat selama hampir tujuh jam sebaik tiba di Lapangan Terbang O’Hare, Chicago.

Menurut sumber yang rapat dengan pasukan, telefon bimbit Hussein turut diperiksa oleh pihak berkuasa imigresen Amerika Syarikat sebelum beliau akhirnya dibenarkan memasuki negara itu.

Aymen Hussein adalah legenda hidup pasukan Iraq, dia telah menjaringkan gol yang membantu negaranya menamatkan penantian 40 tahun untuk layak semula ke Piala Dunia.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pegawai media dan jurugambar rasmi pasukan Iraq, Talal Salah. Beliau dilaporkan ditahan selama lebih 10 jam sebelum akhirnya dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat dan diarahkan keluar dari negara itu.

Kesannya semalam Talal Salah tidak dapat mengemaskini informasi semasa pasukan Iraq di media sosial.

Kedua dua mereka disiasat seperti pengganas, menurut sumber dari Iraq yang kecewa dengan layanan AS ke atas pasukan mereka.

AS sudah memberikan peringatan bahawa delegasi Iraq akan disaring dengan sangat ketat, ditambah lagi dengan sejarah permusuhan politik kedua dua negara, serta konflik baru baru ini.

Pemain dan pegawai pasukan yang disyaki terlibat dengan pertubuhan yang dianggap ekstremis akan dihalang masuk ke AS atau lebih buruk boleh dipenjara. Saringan semakan latar belakang ini termasuk semakan ke atas jejak digital pemain di media sosial, termasuk ahli keluarga dan rakan terdekat.

Setakat ini, Persatuan Bola Sepak Iraq (IFA) dan pihak berkuasa Amerika Syarikat masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden tersebut.

Hussein merupakan wira Iraq selepas menjaringkan gol kemenangan ke atas Bolivia dalam aksi play-off antara konfederasi yang memastikan negara itu layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1986. Iraq bakal memulakan kempen Piala Dunia 2026 dalam Kumpulan I bersama Perancis, Senegal dan Norway.