Kecerdasan Buatan (AI), media sosial, keselamatan data dan perlindungan kanak-kanak dalam talian kini menjadi antara topik yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia.

Seiring perkembangan teknologi yang begitu pantas, cabaran baharu seperti penipuan dalam talian, buli siber, penyebaran kandungan berbahaya serta isu privasi data turut menuntut pendekatan kawal selia yang lebih mampan dan seimbang.

Bagi membincangkan isu-isu penting ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menganjurkan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa(IRC) 2026 pada 21 dan 22 Julai 2026 di Shangri-La Kuala Lumpur.

Membawa tema “Shaping the Next Digital Era: Regulation, Resilience and Trust”, persidangan ini menjadi platform yang menghimpunkan penggubal dasar, pengawal selia, pemain industri dan pakar teknologi dari dalam serta luar negara untuk berkongsi pandangan mengenai masa depan ekosistem digital.

Platform global bincangkan isu digital yang semakin kompleks

IRC 2026 merupakan kesinambungan kepada persidangan yang diperkenalkan sejak 2024 dan mencerminkan komitmen Malaysia dalam memainkan peranan lebih aktif dalam perbincangan berkaitan dasar digital serta telekomunikasi di peringkat antarabangsa.

Persidangan ini bakal dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, sebelum diteruskan dengan pelbagai sesi ucaptama dan dialog yang menyentuh isu-isu digital paling relevan pada masa kini.

Fokus kepada keselamatan pengguna, privasi data dan AI

Antara fokus utama sepanjang dua hari persidangan ialah usaha mewujudkan ruang digital yang lebih selamat, khususnya bagi golongan kanak-kanak, di samping memastikan inovasi teknologi dapat terus berkembang tanpa mengabaikan keselamatan pengguna.

Sesi hari pertama akan dimulakan dengan ucaptama oleh Ahli Suruhanjaya MCMC, Derek John Fernandez, yang akan membincangkan isu perlindungan golongan bawah umur di alam siber.

Perbincangan kemudian diteruskan menerusi sesi Online Safety by Design, yang mengupas tanggungjawab platform digital dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

Sesi ini akan dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) MCMC, Eneng Faridah Iskandar, dengan penyertaan panel antaranya Pesuruhjaya Kanak-kanak SUHAKAM, Dr Farah Nini Dusuki, serta Wakil UNICEF Malaysia, Saskia Blume.

Selain itu, isu berkaitan hak pengguna dan perlindungan data peribadi turut menjadi antara agenda utama menerusi sesi Sovereign Data, Empowered Citizens, yang membincangkan kepentingan tadbir urus data dalam era digital.

Persidangan turut mengetengahkan perbincangan mengenai ekonomi digital dan impak AI melalui perkongsian daripada wakil syarikat teknologi dan industri seperti Maxis, T&G Digital, Ericsson, Shopee Malaysia dan PwC Southeast Asia.

Mengukuhkan kerjasama membentuk masa depan digital

Melalui penyertaan pakar dari pelbagai negara dan sektor, IRC 2026 diharapkan dapat membuka ruang kepada pertukaran idea, perkongsian amalan terbaik serta memperkukuhkan kerjasama dalam membentuk ekosistem digital yang lebih selamat, berdaya tahan dan dipercayai.

Persidangan ini diadakan secara jemputan khas dan menghimpunkan pemegang taruh, pengawal selia, pemain industri serta pakar dalam bidang komunikasi dan teknologi.

Untuk maklumat lanjut mengenai International Regulatory Conference (IRC) 2026, layari laman web rasmi MCMC.