Bergelar suri rumah bukan halangan untuk menyimpan sendiri wang bagi menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.
Malah, keazaman yang tinggi dan tekad untuk menunaikan haji membolehkan wanita berkenaan menyimpan sedikit demi sedikit sehingga mencecah RM30,000 di dalam akaunnya.
Saniam Tumin, 72, berkata dia terdetik untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu selepas mengerjakan umrah pada tahun 2008.
Katanya, sejak itu dia mula menyimpan wang hasil jualan kuih muih dan wang hasil menjadi pengasuh sedikit demi sedikit.
“Dulu tidak ada perkhidmatan transaksi perbankan dalam talian dan saya akan simpan sikit-sikit wang tunai dalam buku bank.
“Apabila jumlah sudah ada RM500 dan kadang-kadang RM1,000 saya akan ke kaunter Tabung Haji (TH) untuk masukkan dalam akaun.
“Saya berjaya kumpul sehingga RM30,000 dan tidak menyentuhnya langsung selepas ini bagi membolehkan mendapat tawaran haji,” katanya kepada BH.
Kesabaran menunggu berbaloi
Ibu kepada enam anak itu berkata, selepas wang mencukupi dia turut membuat rayuan haji malah ketika itu sanggup menulis dengan tangan surat rayuan dan menghantar sendiri ke pejabat pos.
Katanya, penantiannya berbaloi apabila pada tahun 2018 di usia 64 tahun dia akhirnya ditawarkan membuat ibadah haji berseorangan kerana suaminya sudah pergi sebelum itu dengan kuota tukang masak di Tanah Suci.
“Saya bersyukur akhirnya mendapat tawaran dan membuat persiapan sewajarnya termasuk membeli buku panduan dan menyediakan kelengkapan dengan bantuan suami serta anak-anak,” katanya.
Dia yang kini menetap di Seremban, Negeri Sembilan, berkata pengalaman yang paling tidak dapat di lupakan semasa mengerjakan haji adalah ketika berada di Jabal Rahmah, Arafah dan ketika itu ramai rakan seusia tidak dapat mendaki kerana faktor kesihatan dan fizikal.
“Saya juga sebenarnya tidak yakin pada mulanya tetapi Alhamdulillah dengan izin Allah saya berjaya naik hingga ke atas malah lebih bermakna apabila turut berpeluang memimpin seorang jemaah yang sakit lutut untuk sama mendaki,” katanya.
Justeru, beliau menasihati kepada semua umat Islam terutama golongan muda supaya membuat simpanan untuk haji seawal yang boleh.
“Kalau ada peluang pergi haji masa muda. Saya juga selalu pesan dan ingatkan pada anak-anak saya juga untuk menyimpan duit dalam TH, pergi haji sementara muda, kuat dan sihat.
“Selain itu, jangan pernah putus asa untuk berdoa, usaha dan tawakal pada Allah supaya dapat sempurnakan rukun Islam kelima,” katanya.
Sementara itu, bagi pesara guru Bahasa Inggeris, Ahmad Wahab, 73, dia menyimpan hasrat untuk menunaikan ibadah haji bersama isteri, Napisah Awang Kechik sejak mereka mendaftar bersama-sama 17 tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya impian itu tidak kesampaian apabila isteri tercinta terlebih dahulu menghadap Ilahi akibat masalah jantung pada tahun 2023 ketika berusia 73 tahun.
“Kami memasang impian untuk menunaikan ibadah haji bersama-sama sejak 2009 lagi, malah hampir setiap tahun membuat rayuan. Namun sudah tertulis yang saya pergi seorang.
“Bagaimanapun, saya bersyukur sepanjang menunaikan haji selama 47 hari baru-baru ini, saya berpeluang mengenang semula detik kami menunaikan umrah pada tahun 2009 dan 2013 lalu.
“Segala memori bersamanya sepanjang berada di Tanah Suci masih kuat dalam ingatan saya walaupun arwah sudah tiada,” katanya.
Lebih membanggakan katanya, rasa cinta yang tinggi untuk arwah isteri juga membuatkan dia sanggup menziarahi kubur arwah yang terletak kira-kira 11 kilometer dari rumah setiap pagi.
Katanya, walaupun ada kubur yang dekat di kawasan rumah, tetapi arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Marhum berhampiran kubur kedua ibu bapanya.
Menceritakan detik mendapat tawaran haji, bapa kepada dua anak dan enam cucu itu berkata, dia mengakui sayu kerana itu hasrat mereka berdua selama ini.
Hargai keprihatinan TH
Namun katanya, oleh kerana memang sudah bersedia sejak bertahun-tahun, dia menjalankan persediaan yang sewajarnya termasuk mengikuti kursus haji.
“Pihak TH turut bertanya adakah saya akan pergi berseorangan memandangkan saya sudah berusia dan saya memberitahu memang pergi seorang.
Syukur Alhamdulillah, walaupun sudah berusia 73 tahun, saya tiada sebarang penyakit selain mempunyai stamina yang tinggi,” kata bekas jurulatih bola sepak itu.
Ahmad yang kini menetap di Pekan, Pahang berkata, dia bersyukur apabila perjalanan hajinya dipermudahkan sejak dari awal hingga akhir dan tidak berhadapan sebarang masalah sepanjang berada di Makkah dan Madinah.
“TH memang menjaga kami semua jemaah tidak kira yang bertongkat atau menggunakan kerusi roda dengan sangat baik dari sebelum pergi hingga kami selamat pulang,” katanya.
Ditanya bagaimana membuat simpanan tabungan haji, dia mengakui tidak menyimpan di TH secara berkala atau membuat potongan gaji bulanan ketika masih bekerja.
Namun katanya, dia membuat pelaburan dan apabila mendapat dividen dia menyimpannya di dalam akaun TH dan sehinggalah tahun 90-an dia mengeluarkan semua pelaburan itu dan menyimpan sepenuhnya dalam TH.
“Apabila simpanan sudah mencecah lebih RM20,000 saya membuat rayuan haji hinggalah mendapat panggilan,” katanya.
Oleh itu, beliau amat menggalakkan ibu bapa supaya membuka akaun dan membuat tabungan di TH sejak anak-anak masih kecil serta menyimpan sepenuhnya setiap wang yang diterima terutama pada Aidilfitri.
Selain itu, beliau turut menasihati kepada bakal jemaah haji terutama mereka yang sudah berusia, supaya menjaga kesihatan dari sekarang dan lebih penting menjaga pemakanan dengan mengurangkan pengambilan gula dan tepung.