Bagi mana-mana pemilik kenderaan, tiada apa yang lebih merisaukan daripada situasi enjin yang tiba-tiba semput atau mati di tengah jalan sejurus selepas mengisi minyak. Kerisauan itu berganda apabila memikirkan kos pembaikan di bengkel yang bukan sedikit.

Namun, bagi pemandu yang berdepan detik cemas akibat isu pencemaran petrol RON95 baru-baru ini, khabar yang dinantikan akhirnya tiba. Dua syarikat pembekal bahan api utama, Petron dan Chevron (pemilik jenama Caltex), telah mula menggerakkan pembayaran ganti rugi secara ihsan kepada pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan enjin.

Pampasan ihsan tanpa pengakuan liabiliti

Perkembangan ini disahkan sendiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. Menurut beliau, langkah ini diambil oleh kedua-dua syarikat sebagai inisiatif segera untuk membantu pengguna yang terkesan sementara proses siasatan menyeluruh masih berjalan.

“Pihak Caltex dan Petron telah merangka program pemulihan pelanggan melalui program bantuan, yang melibatkan pembayaran secara ihsan berpandukan kriteria yang telah ditetapkan, tanpa sebarang pengakuan terhadap kesalahan atau liabiliti pada peringkat ini,” jelas beliau.

Armizan berkongsi perkara itu di Dewan Rakyat pada Khamis sewaktu sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai status analisis sampel dan usaha kerajaan memulihkan keyakinan pengguna.

Beliau turut menambah bahawa bayaran ihsan tersebut disasarkan kepada pelanggan yang telah membuat aduan rasmi bersama bukti dokumen sokongan yang sah daripada pihak bengkel.

Misteri kerosakan: Ujian awal dapati tiada unsur air

Sejak isu ini mula tular, ramai pengguna membuat andaian bahawa bahan api berkenaan mungkin dimasuki air. Namun, dapatan awal Jabatan Kimia ke atas 43 sampel petrol menunjukkan sebaliknya.

Laporan bertarikh 29 Oktober lalu mendapati kandungan air berada pada tahap kurang daripada 0.05 peratus, iaitu di bawah had minimum pengesanan yang dapat dilaporkan oleh pihak makmal.

“Tumpuan segera diberikan kepada parameter pengesanan air dan setakat ini ia nampak tidak (tiada unsur air). Jadi kita melihat siasatan lanjut kepada kehadiran benda asing yang lain dan juga formula bekalan pada tempoh tertentu,” kata Armizan.

Sehingga kini, sebanyak 262 sampel petrol RON95 telah diambil dari lapan buah negeri dan tiga depoh simpanan syarikat minyak sejak aduan mula direkodkan pada 3 Oktober lalu. Bukan setakat ujian tempatan, pihak Petron dan Caltex turut menghantar sampel bahan api tersebut ke makmal masing-masing di luar negara bagi mendapatkan gambaran lebih terperinci.

Isu kelompok tertentu, bukan seluruh rantaian bekalan

Mengulas lanjut mengenai skop kejadian, Armizan menegaskan bahawa insiden ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan memandangkan ada beberapa stesen minyak yang masih terpaksa ditutup sehingga hari ini. Walau bagaimanapun, masalah ini dikesan hanya berlaku pada kelompok dan waktu tertentu, bukannya menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan minyak negara.

“Walaupun siasatan dapatan tadi belum konklusif, tetapi kita melihat ia bukan isu yang melibatkan keseluruhan rantaian bekalan itu, hanya bekalan pada tempoh masa tertentu,” ujar beliau lagi.

Kawasan yang dikesan paling terkesan dengan isu ini tertumpu di beberapa lokasi di bahagian utara tanah air, terutamanya di Kedah dan Pulau Pinang.

Bagi mengelakkan peristiwa sama berulang serta memperketat kawalan kualiti bahan api negara, pihak kementerian kini sedang membuat penandaarasan dengan piawaian beberapa negara maju seperti Singapura, United Kingdom, dan Australia.

Hak pengguna jika tidak berpuas hati

Bagi pemilik kenderaan yang merasakan jumlah pampasan ihsan yang ditawarkan syarikat minyak terbabit tidak memadai dengan kos kerosakan sebenar, mereka masih mempunyai ruang undang-undang untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.

Armizan mengingatkan bahawa pengguna sentiasa berhak menyalurkan aduan rasmi terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), memfailkan kes ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), atau meneruskan tindakan saman sivil di mahkamah.

Langkah pembayaran ihsan oleh Petron dan Caltex ini sekurang-kurangnya menjadi permulaan baik dalam menjaga kebajikan pengguna jalan raya, sementara laporan penuh daripada Jabatan Kimia dimuktamadkan tidak lama lagi.