Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon tidak berpuas hati dengan dakwaan beberapa media Taiwan yang mengatakan Malaysia menang kerana dibarisi ramai pemain naturalisasi.

Bercakap dalam sidang media selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Harimau Malaya menumbangkan Taiwan 1-0, Kim Pan Gon menegaskan pemain warisan dalam skuad itu layak mewakili negara kerana mempunyai darah Malaysia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

“Kami mempunyai ramai pemain warisan. Pemain warisan ini bukan pemain luar negara, mereka adalah warganegara Malaysia.

“Kami juga mempunyai beberapa pemain naturalisasi dan ia bukan keputusan yang mudah untuk mereka menukarkan kepada pasport Malaysia.

“Mereka telah membuktikan prestasi dalam liga dan komitmen untuk berjuang demi negara. Mereka dipanggil mewakili negara mengikut peraturan yang ditetapkan,” jelas Kim Pan Gon.

FOTO: FAM

Dalam perlawanan itu, hanya dua pemain naturalisasi kelahiran Brazil yang beraksi iaitu Endrick Dos Santos dan Paulo Josue manakala seorang lagi pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh berada di bangku simpanan.

Kim Pan Gon turut memberi contoh juara Piala Dunia 2018, Perancis juga menggunakan khidmat ramai pemain naturalisasi dan ia adalah normal dalam dunia bola sepak.

“Negara seperti Perancis juga sudah gunakan pemain warisan dan naturalisasi. Ini sudah jadi ikutan negara-negara handalan dunia untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan mereka.

“Jadi, jangan merungut dan nikmatilah permainan bola sepak,” tegas Kim Pan Gon kepada media Taiwan.

Taiwan juga menurunkan pemain naturalisasi dalam perlawanan tersebut iaitu Ange Samuel Kouame yang beraksi di posisi penyerang.

Kouame berasal dari Ivory Coast dan baharu sahaja mendapat kewarganegaraan Taiwan pada bulan Ogos lalu. Bagaimanapun, beliau gagal menjaringkan sebarang gol dalam kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026.