Presiden FIFA, Gianni Infantino mengundang kontroversi apabila menggesa orang ramai supaya ‘bertenang dan relaks’ susulan pengadil dari Somalia, Omar Artan yang dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat menjelang Piala Dunia 2026.

Infantino menegaskan bahawa badan induk bola sepak dunia itu bukanlah ‘raja dunia’ dan tidak mempunyai kuasa untuk mengetepikan keputusan kawalan sempadan yang ketat.

Keadaan itu menyebabkan Artan kecewa dan terkandas, sekali gus terlepas peluang untuk terlibat dalam kejohanan bola sepak terbesar dunia tersebut.

Susulan tindakan mengejutkan pihak berkuasa mengusir pegawai perlawanan tersebut, Infantino tampil mengulas kontroversi tersebut dalam satu sidang media yang jarang diadakan.

Infantino Mahu Semua Tenang Tangani Isu Pengadil Somalia

Mengulas pertikaian imigresen yang menyebabkan Artan terlepas peluang bersejarah dalam kariernya, Infantino berkata:

“Apa yang berlaku kepada pengadil dari Somalia itu memang malang. Sekali lagi, kami tidak mengawal segala-galanya.”

“Kami akan cuba membantu, berbincang dan melihat apa yang boleh dilakukan. Kadangkala adalah lebih baik untuk bertenang dan relaks,” ujar Infantino menurut sumber laporan Goal.

“Kami sedang berusaha dalam semua perkara dan cuba menyelesaikan setiap isu. Ada kalanya, jika terus menjerit dan melenting sejak awal, kesannya adalah sebaliknya serta menyukarkan usaha mencari penyelesaian.”

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan batasan yang dihadapi badan induk bola sepak dunia itu dalam urusan melibatkan sempadan dan kedaulatan sesebuah negara.

“Percayalah apabila saya katakan bahawa kami sentiasa berusaha mencari penyelesaian. Tetapi kami perlu menghormati hakikat bahawa kami bukan raja dunia yang boleh mengarahkan kerajaan atau pasukan polis. Kami hanyalah sebuah organisasi sukan.”

Omar Artan dilaporkan melakukan perjalanan dengan dokumen yang sah sepenuhnya termasuk pasport diplomatik. Namun, beliau tetap ditolak kemasukan dan dihantar pulang ke Turki sejurus tiba.

Sumber