Dua pelajar tahfiz luah kekecewaan selepas hanya menerima saguhati masing-masing berjumlah RM100 untuk menjalankan tugas sebagai imam tarawih 20 rakaat selama 27 hari.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Facebook, Rozaimi Kamaruddin yang memuat naik hantaran selepas dia mengetahui kisah tersebut daripada anaknya yang juga rakan pelajar tahfiz tersebut.

Baca Juga:

Sumber Gambar: Carousell

“Anak balik dari madrasah bercerita kawannya jadi imam terawih 20 rakaat selama 27 hari cuma diberi saguhati RM100. Lebih memilukan semua kawan-kawan yang lain dapat sehingga ribuan ringgit.

“Allahu sedihnya, nangis aku. Katanya ‘koyak’ teruk juga kawan dia tu, ye la budak lagi kan. Bukan berniat nak salahkan atau kecam sesiapa, tapi ‘come on’ la. Kita upah badut buat belon masa hari jadi anak pun bayar beribu, ini budak tahfiz kot.

“Hampir sebulan menabur bakti, sikit ke usaha dia? Jangan la cakap pasal keikhlasan ke apa, budak tu boleh guna ikhlas buat bayar yuran pengajian dia ke? Tidak mengapa la dik, orang tak bagi sekejap pakcik ‘adjust’ ye,” katanya.

Hantaran itu mendapat maklum balas pengguna Facebook lain yang tidak bersetuju terhadap bayaran saguhati RM100 itu, selain ada yang mahu memberikan sumbangan.

“Allahu, kasihan anak tahfiz tu. Tuan boleh bantu ke? Nak nombor akaun, boleh kami bantu anak tu,” kata Sarah Adnan.

“Kenapa ada pihak masjid nak menafikan hak budak tahfiz tu. Sedangkan dia memerlukan bayaran sepatutnya,” kata Adzly.

Dalam pada itu, Rozaimi turut mengajak pengguna Facebook lain untuk menyumbang kepada pelajar tahfiz tersebut sehingga pukul 9 malam tadi.

“Sekali lagi saya tegaskan di sini ‘posting’ ini bukan berniat untuk mengecam mana-mana pihak. Kita cuma rasa sedih dengan kekecewaan pelajar tahfiz yang sedikit sebanyak mengharapkan elaun mereka, tetapi cuma dapat RM100.

“Ramai mesej saya untuk menyumbang, terima kasih kepada yang telah menyumbang. Semua sumbangan kita hentikan pukul 9 malam ini sahaja dan malam ini juga saya akan sampaikan pada pelajar berbabit,” katanya.

Menerusi hantaran berikutnya, Rozaimi memaklumkan, sebanyak RM5,600 sumbangan berjaya dikumpulkan untuk dua pelajar tahfiz terbabit.

imam tarawih
Sumber Gambar: FB Rozaimai Kamaruddin

Terkini, dia memaklumkan telah pun menyampaikan wang sebanyak RM2,800 kepada pelajar tahfiz terbabit menerusi akaun ibu mereka.

Malah, dia turut meminta orang ramai untuk tidak menyerang surau terbabit dan hanya menjadikan ia sebagai pengajaran buat semua. Dalam masa sama, dia berterima kasih kepada penyumbang yang ikhlas memberikan wang untuk pelajar tahfiz itu.