Bulan Ramadan bakal berkunjung tiba tidak lama lagi, segala persiapan sedang dibuat oleh pihak pengurusan masjid di seluruh negara. Susulan itu, ada pengurusan masjid yang sudah giat mencari calon imam tarawih yang profesional.
Bagaimanapun, hantaran dari sebuah masjid di Kuala Krai, Kelantan menerusi Facebook telah menarik perhatian ramai apabila mahu menawarkan elaun yang lumayan untuk posisi imam tarawih bersempena bulan Ramadan kali ini.
Baca Juga:
- Masjid Di Liverpool Tawar Gaji Setinggi RM223,798 Setahun Bagi Jawatan Imam
- ‘Laju Betul Elak’ – Netizen Kagum Dengan Kepantasan Imam Elak Serangan Lelaki Didakwa Kurang Siuman
Menerusi hantaran tersebut, pihak pengurusan masjid Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Bandar Kuala Krai sedang mencari seorang individu yang mampu mengimamkan solat tarawih selama sebulan dengan elaun setinggi RM6,000.
Mereka kini sedia menerima resume untuk jawatan tersebut buat mereka yang berminat namun bakal diberi keutamaan kepada yang bermukim di jajahan Kuala Krai. Anda boleh menghantar resume di emel rasmi [email protected] dan selewat-lewatnya pada hari esok.
Seperti yang dijangkakan, hantaran di Facebook itu telah meraih perhatian netizen yang mana majoritinya memberi pujian kepada pihak pengurusan masjid berkenaan sedia memperuntukkan sejumlah wang yang besar bagi melantik imam tarawih yang berkaliber.
Dalam pada itu, ada yang mengharapkan agar lebih banyak masjid di Malaysia mencontohi pengurusan masjid di Kuala Krai tersebut kerana inisiatif ini sangatlah bagus dalam menghargai tanggungjawab imam tarawih yang selama ini dipandang enteng.